Siakap Keli

Rakyat Malaysia Berkumpul Awal Pagi Suarakan Solidariti Keamanan

Perhimpunan Solidariti Kedamaian akan berlangsung di Dataran Merdeka pagi ini dengan membawa mesej bahawa rakyat Malaysia mahukan keamanan dan menolak sebarang bentuk keganasan.

Perhimpunan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu itu juga akan disertai oleh ibu saudara Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang turut terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 50 orang itu, sebagai wakil keluarga mangsa kejadian itu.

Peserta yang dijangka mengenakan baju berwarna putih tanpa mengira kaum dan agama itu dijadual berarak dari pusat membeli belah, Sogo, pada jam 7.45 pagi dan dijangka tiba di Dataran Merdeka sekitar ham 8.15 pagi.

Menggunakan simbol burung merpati putih berlatarbelakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, himpunan itu turut disertai anggota persatuan pelbagai agama, antaranya Sikh, Taoism, Buddha, Krisitan, Hindu dan Islam selain lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Di Dataran Merdeka, wakil-wakil setiap agama dijadual menyampaikan ucapan solidariti yang membawa mesej kedamaian selain ucapan wakil keluarga Mohd Haziq.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa turut akan menyampaikan ucapannya pada himpunan itu sebelum melancarkan Simbolik Solidariti Kedamaian.

Acara kemuncak himpunan itu ialah bacaan Deklarasi Kedamaian KL 2019 yang membawa suara hati rakyat Malaysia yang menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan.

Perhimpunan yang dijadual sehingga 11 pagi itu dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation.

Siaran langsung perhimpunan itu boleh diikuti melalui Facebook Bernama seawal 7.30 pagi, selain lintas langsung dari Bernama News Channel pada 10 pagi, 11 pagi, 11.55 pagi dan 1 tengah hari.

Bernama turut akan menyalurkan perkembangan terkini berkenaan himpunan itu dari masa ke semasa melalui pelbagai platformnya seperti Facebook FrontDesk, Twitter Bernama dan Bernama Radio.

— BERNAMA

Nur Farra