Setiap negara di dunia mempunyai kad pengenalannya sendiri. Ini bertujuan untuk memudahkan semua urusan seharian selain dari memastikan bahawa setiap rakyat di negara itu mempunyai rekod pengenalan diri.
Di Malaysia, sistem kad pengenalan telah diguna pakai sejak 70 tahun lalu. Seiring dengan kemajuan teknologi, penggunaan kad pengenalan berubah dari hanya sekeping kertas kepada pelbagai fungsi, aplikasi serta ciri keselamatan terkini.
Dan menurut laman sesawang Jabatan Pendaftaran Negara, mengikut Peraturan 15, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) setiap orang yang memiliki kad pengenalan dan bertukar tempat kediaman ke suatu tempat yang seseorang itu akan tinggal selama tempoh 90 hari atau lebih hendaklah membuat gantian penukaran alamat pada kad pengenalan.
Memetik sumber dari Bernama, mulai 2 mei ini permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu. Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata bahawa langkah ini bertujuan untuk mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes “50 hingga 100 orang” menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.
“Ada permohonan alamat tetapi kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Kita tidak mahu perkara itu berulang.”
Mohd Azis turut menjelaskan tentang penggunaan alamat yang tidak sahih akan menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.
Individu yang mahu penukar alamat perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.
Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, anggota Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat.
Mohd Azis juga berkata sebanyak 10,828 individu telah dilucutkan status kewarganegaraan sejak 1960 hingga sekarang atas pelbagai kesalahan menurut Perkara 24, 25, 26 Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, kerajaan memandang serius tentang tindakan pelucutan kewarganegaraan selepas mendapat bukti yang kukuh terhadap silah laku individu berkaitan isu tersebut.
Sumber : Jabatan Pendaftaran Negara