Siakap Keli
BERNAMA

Lemang Sushi Inovasi Lemang Dua Dalam Satu

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Sekali pandang bentuknya seperti sushi, namun sebenarnya ia adalah lemang hasil inovasi usahawan Zuriati Sulaiman, 52, dengan meletakkan inti di tengah-tengah hidangan tradisi Melayu itu.

Lebih menarik, ‘lemang dua dalam satu’ hasil kreativiti Zuriati sejak dua tahun lepas itu turut menawarkan pes durian sebagai pilihan inti selain serunding daging, ayam dan ikan bilis.

“Lemang sejuk beku sudah banyak terdapat di pasaran, namun kami ingin tampilkan kelainan dengan meletakkan inti di bahagian tengah lemang, jadi lebih mudah nak makan tak perlu lagi cari rendang untuk cicah.

“Pemilihan durian sebagai inti juga tidaklah janggal kerana rasanya lebih kurang sahaja dengan pulut durian yang popular di utara,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Jualan Pasar Peladang di sini semalam.

Usahawan yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata lemang berkenaan masih diproses mengikut resipi tradisional menggunakan santan dan beras pulut namun tidak dibakar di dalam buluh sebaliknya dimasak di dalam ketuhar khas.

Zuriati berkata lemang sushi itu turut menarik pengedar dari China yang berhasrat untuk memasarkannya ke negara Tembok Besar itu.

“Memandangkan kemudahan memasak dan tenaga kerja sedia ada agak terhad, saya masih mempertimbangkan perkara itu namun akan berusaha untuk membawanya ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang itu dipasarkan pada harga RM18 hingga RM20 sebatang dan setakat ini Zuriati hanya mengambil tempahan secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman berkata Program Jualan Peladang yang diadakan selama sehari di Menara LPP di sini bertujuan membantu masyarakat menangani kos sara hidup serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Pengguna boleh beli barang-barang keperluan harian yang segar seperti daging, ikan dan sayur-sayuran terus daripada pengusaha dengan harga berpatutan. Diskaun sehingga 20 peratus turut ditawarkan.

“Program ini juga diharap dapat menjadi platform untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan sendiri produk mereka terus kepada pengguna,” katanya.

Mazlan berkata program itu juga akan dikembangkan menjadi acara bulanan di perkarangan premis pejabat LPP di seluruh negara.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.