Siakap Keli
Lim Yaw

Kes Kanak-Kanak Ditampar Selepas Salah Sangka Mencuri, MPH Bookstore Mohon Maaf Dan Pecat Staf Terlibat

Sejak beberapa hari lepas, tular insiden seorang kanak-kanak yang ditampar oleh pengawal keselamatan stor jualan buku popular, MPH Bookstore Malaysia cawangan NU Sentral di Kuala Lumpur.

Menurut perkongsian yang dimuat oleh bapa kepada kanak-kanak tersebut, anaknya diheret masuk ke dalam bilik kawalan sebelum ditampar ketika soal-siasat kerana pengawal keselamatan mengesyakinya mencuri komik yang dijual di stor tersebut.

Bagaimanapun, salah seorang staf menyedari satu pelekat pada bahagian komik berkenaan yang menandakan buku tersebut sudahpun dijual. Menyedari keadaan itu, kanak-kanak berkenaan kemudian dilepaskan.

Susulan insiden tersebut, MPH Bookstore sebentar tadi mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan insiden yang berlaku.

”Hasil siasatan kami mendapati memang jelas telah berlaku perlanggaran terhadap SOP yang diamalkan dan bertentangan dengan latihan yang telah diberikan kepada staf kami.

”Pihak kami juga tidak menyokong insiden berkenaan dan oleh itu, staf yang terlibat sudahpun ditamatkan perkhidmatan pada 27 Mac.

”Kami juga ingin memaklumkan bahawa ibu-bapa kepada kanak-kanak berkenaan sudahpun dihubungi bagi menyampaikan permohonan maaf. 

”Ketika ini, kami memberikan kerjasama yang baik terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut,” kata kenyataa tersebut.

MPH Bookstore juga turut memohon maaf kepada semua pelanggannya yang selama ini memberi sokongan kepada rangkaian stor buku tersebut.

”Kami mendapat pengajaran yang sangat berharga dengan insiden yang terjadi dan kami berikrar untuk menawarkan persekitaran yang lebih mesra kepada pelanggan-pelanggan kami.”

Sumber: MPH Bookstore, Lim Yaw

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.