Siakap Keli

Kandungan Dalam Kandungan, Bayi Dalam Perut Ibu ‘Mengandung’ Kembarnya Sendiri

Seorang bayi perempuan yang masih dalam kandungan di Colombia mengejutkan staf perubatan apabila imbasan yang dibuat mendapati bayi tersebut ‘mengandungkan’ kembarnya sendiri.

Menurut The New York Times, keadaan ini yang dikenali sebagai ‘fetus-in-fetu’ adalah sangat-sangat jarang berlaku tetapi boleh dijangka.

Malah, fenomena ini pernah dicatatkan dalam jurnal perubatan British pada tahun 1808 dan dilaporkan hanya berlaku satu dalam 500,000 kelahiran.

Terdahulu, kes sedemikian rupa pernah dilaporkan berlaku di India, Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun dalam kes di Colombia, doktor berjaya mengesan kandungan dalam kandungan itu semasa dalam proses kehamilan ibu melalui kaedah imbasan, sesuatu yang jarang berlaku.

Menurut Dr. Miguel Parra-Saavedra, ketika imbasan dijalankan terhadap ibu dengan usia kandungan 35 minggu, pasaukan perubatan pada awalnya menyangkakan berlaku ketumbuhan di dalam perut bayi tersebut.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menggunakan teknologi lebih canggih doktor berjaya mengesan kewujudan fetus dalam kandungan bayi itu.

Ibu bayi tersebut pada awalnya tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh doktor namun penjelasan lanjut akhirnya diterima oleh wanita berusia 33 tahun.

Bayi tersebut kemudian selamat dilahirkan melalui pembedahan setelah doktor khuatir sekiranya ‘kembar’ yang dikandungnya boleh memberi ancamanya kepada keselamatan si bayi dan ibu.

Selepas itu, doktor melaksanakan pembedahan terhadap bayi yang dinamakan Itzamara, berat 3.17 kilogram, bagi mengeluarkan fetus yang berukuran 45 milimeter panjang dan seberat 14 gram itu.

Fetus tersebut juga dikatakan telah meninggal dunia sebaik sahaja tali pusat yang bersambung dengan Itzamara dipotong. Fetus itu juga dilaporkan mempunyai tangan dan kaki tetapi tidak mempunyai jantung serta otak.

Itzamara dilaporkan selamat dalam pembedahan tersebut dan kini menjalani rawatan pemulihan.

Sumber: The New York Times

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.