Siakap Keli

”Alhamdulillah…”, Ibu Dan Rakan Baik Sonny Bill Williams Bergelar Mualaf Beberapa Minggu Selepas Tragedi Christchurch

Bintang rugby New Zealand dan juga dunia, Sonny Bill Williams, 33, baru-baru ini mengumumkan berita gembira bahawa ibunya, Lee Williams dan rakan atlet, Ofa Tu’ungafasi telah pun selamat memeluk agama Islam, tidak lama selepas serangan berdarah yang menyasarkan komuniti Muslim di Christchurch baru-baru ini.

Berita berkenaan turut dikongsikan oleh beberapa ulama terkenal dunia termasuklah Imam daripada Zimbabwe, Sajid Umar melalui laman twitternya.

”Baru mendapat khabar gembira bahawa ibu kepada saudara kita, Sonny telah pun memeluk Islam. Turut memeluk Islam adalah rakan baik yang juga atlet sama sepertinya.

”Segala puji-pujian hanya bagi Allah. Walaupun kita berjauhan, saya sangat gembira dengan berita daripada saudara kita ini. Allah telah memilihnya,” kata imam itu.

Gambar Ofa yang mengenakan jubah putih berdiri bersama-sama dengan Sonny serta seorang rakan kepada Sonny, juga Muslim, tersebar di media sosial.

Sonny sebelum ini terlebih dahulu memeluk agama suci ini dan berhenti daripada minum minuman keras dan merokok sejak memeluk Islam.

Dalam insiden berdarah yang berlaku baru-baru ini, Sonny turut berkongsi kesedihan dengan kejadian yang menimpa saudara-saudara seagamanya. Malah, beliau turut berkesempatan turun bersama-sama rakyat New Zealand baru-baru ini dalam acara memperingati tragedi berdarah tersebut.

Menurut pengurus peribadi kepada Sonny, ibunya Lee memeluk Islam pada Selasa lalu.

Sonny bersama ibu dan keluarganya

Sumber: Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.