Siakap Keli
Gambar: The K Telegraph

Baring Sambil Tengok TV Di Atas Katil Selama 2 Bulan, NASA Bayar RM74,939

Jabatan Aeronatik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat atau singkatannya NASA akan membayar sebanyak £14,000 (RM74, 939) kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi sukarelawan untuk menghabiskan masa selama dua bulan dengan hanya berbaring di atas katil.

Sukarelawan yang terpilih perlu membaringkan diri mereka di sebuah katil yang dibina khas selama dua bulan. Ianya bertujuan untuk menguji kesan penerbangan angkasa lepas ke atas tubuh manusia.

Katil yang dibina khas itu dilengkapi dengan TV, bahan bacaan serta aktiviti yang menyeronokkan buat peserta untuk menghilangkan rasa bosan.

Gambar: ESA

Kepada sesiapa yang memerlukan duit, masih ada peluang lagi untuk anda memohon kerana tarikh akhir sebelum penyertaan ditutup adalah pada 24 Mei. Kajian tersebut bakal bermula pada bulan September ini. Jumlah sukarelawan yang akan dipilih terbuka kepada 24 orang sahaja.

Namun begitu, ianya tidaklah semudah yang disangka kerana salah satu syarat permohonannya ialah anda haruslah tahu bertutur dalam bahasa Jerman kerana kajian yang turut disertai Agensi Angkasa Eropah (ESA) itu akan dilakukan di Pusat Aeroangkasa Jerman (DLR).

Gambar: NASA

Walaupun semua keperluan asas akan disediakan oleh pihak NASA serta tampak mudah dilakukan, ada syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi oleh peserta dalam menjalani kehidupan seharian mereka semasa dalam tempoh kajian tersebut. Antaranya ialah, para peserta perlu melakukan segala-galanya dalam keadaan berbaring. Ianya termasuklah semasa makan dan hendak membuang air.

ESA menyatakan bahawa kajian itu dilakukan bertujuan untuk mengkaji tentang kesan ketiadaan jisim, sinaran kosmik, pengasingan serta sekatan ruang yang akan dilalui angkasawan semasa menjalankan misi meneroka angkasa lepas.

Secara khususnya, kajian tersebut turut bertujuan untuk melihat sejauh mana penurunan berat otot seseorang angkasawan itu ketika menjalani kehidupan di ruang angkasa lepas.

Selain dari itu, saintis turut akan mengkaji tentang keberkesanan ruang graviti buatan yang digunakan itu boleh menghentikan kemerosotan kesihatan atau tidak bagi misi jarak jauh.

“Penggunaan graviti buatan mungkin merupakan penyelesaian yang terbaik untuk perlindungan kesihatan manusia semasa misi pengembaraan angkasa dijalankan,” kata ketua saintis yang terlibat, Dr Edwin Mulder.

Gambar: ESA

Secara keseluruhannya, 24 sukarelawan yang dipilih akan ditempatkan selama 60 hari di sebuah katil khas yang dibina di pusat kajian yang terletak di Cologne.

Semasa proses kajian sedang dijalankan, peserta digalakkan mengisi masa lapang dengan membuat permohonan untuk belajar secara atas talian serta belajar tentang kemahiran asas yang baru.

Sumber: The Sun

Aqmal Ezany

I write what is right