Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dua Juruterbang Hawk TUDM Catat Rekod Dunia Terbang Lama

LANGKAWI, 28 Mac (Bernama) — Dua juruterbang pesawat Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatat rekod dunia durasi penerbangan pesawat Hawk paling lama iaitu empat jam 12 minit yang dilakukan pada Ogos 2016.

Mejar Fairul ‘Gillette’ Mohd Rustham, 33 dan Mejar Zulkifli ‘Steady’ Mohamad, 38 daripada No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang mengatasi rekod bekas ketua skuadron Tentera Udara Diraja Britain, John Hurrell yang mencatatkan tiga jam 56 minit pada 1988.

Kejayaan mereka diiktiraf oleh syarikat pertahanan dan aeroangkasa Britain, BAE Systems yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Mengulas rekod tersebut kepada Bernama, Fairul berkata mereka ketika itu melaksanakan operasi pemintasan di Laut China Selatan.

“Kami berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang untuk membuat tinjauan di Laut China Selatan dan sememangnya tidak pernah menduga akan berada dalam pesawat selama itu,” katanya.

Beliau berkata lazimnya juruterbang Hawk hanya terbang sekitar satu jam dan mereka tidak dilatih untuk terbang selama itu.

“… kebiasaannya kami terbang dalam pesawat sekitar sejam atau sejam lebih, itulah tempoh maksimum untuk menerbangkan pesawat. Hari itu adalah hari operasi pemintasan maka kami terpaksa menerbangkan pesawat melangkaui had,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata pesawat Hawk kebiasaannya digunakan untuk melatih juruterbang baharu.

Pengiktirafan daripada BAE itu merupakan yang kedua diterima oleh dua juruterbang terbabit. Kali pertama ialah pada 2 Mac lepas daripada TUDM.

Sejarah perkhidmatan pesawat Hawk 208 TUDM bermula pada 15 April 1994 selepas pasukan itu menerima dua pesawat pertama hasil memorandum persefahaman yang dimeterai oleh negara pada 10 Dis 1990.

LIMA’19 yang berlangsung di MIEC dan Resorts World Langkawi bermula pada Selasa sehingga Sabtu ini menyaksikan 406 syarikat pertahanan dan komersil dari 32 negara mengambil bahagian.

Pameran LIMA’19 edisi ke-15 ini dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.