Siakap Keli

”Guna Air Sebagai Ganti Vaksin Kepada Jemaah,” Doktor Dedah Taktik Sesat Dan Sonsang Segelintir Pengamal Perubatan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi individu yang menunaikan haji atau umrah, vaksinasi menjadi satu syarat wajib yang perlu diikuti atas arahan kerajaan Arab Saudi. Namun, ramai jemaah tidak begitu mengambil tahu tentang kebaikan vaksin ini dan hanya mengambil vaksin sebagai pencukup syarat kelulusan visa.

Tahukah anda vaksin diberi untuk mencegah setiap individu itu daripada dijangkiti oleh bakteria yang menyebabkan kadar kematian tinggi dan komplikasi yang teruk. Oleh itu, jemaah perlu mendapatkan suntikan vaksin sebagai antibodi badan dua minggu sebelum ke Tanah Suci daripada doktor yang bertauliah.

Namun, apa yang tidak sedap didengarnya apabila terdapat dakwaan bahawa ada segelintir doktor yang tidak beretika memberikan suntikan air bagi menggantikan vaksin kepada jemaah. Adakah kerana meragui status halal vaksin ini sehingga menyebabkan doktor bertindak sedemikan? Ikuti perkongsian oleh Dr Rusyainie Ramli seperti di bawah.

MENIPU VAKSIN UNTUK KE TANAH SUCI?

Bila saya baca pendedahan PW Community terdapat dakwaan seorang netizen yang mengaku abang iparnya (dia gunakan DOCTORS, jadi saya tak pasti, berapa orang abang ipar dia yang doktor), memberikan suntikan berkemungkinan water for injection, sebagai ganti kepada vaksin Meningoccocal Quadrivalent yang sepatutnya diberikan pada bakal jemaah Haji atau Umrah, saya kecewa.

Kalau benar katanya, memang betullah khabar angin yang sampai ke telinga saya tentang ada doktor yang dah sesat dan songsang. GeDAVak lah ni.

Vaksin Meningococcal untuk menunaikan Haji dan Umrah bukan kehendak kerajaan kita. Tapi ia adalah kemestian yang wajib dipenuhi seperti yang disyaratkan oleh kerajaan Arab Saudi. Nak masuk negara orang, kenalah ikut undang-undang negara tu. Dekat pintu masuk Arab Saudi lagi mereka dah nak tengok buku immunisasi tu.

Setiap vaksin tu ada nombor sirinya yang mesti dicatatkan oleh doktor yang memberikan suntikan tu. Kalau suntikan tak diberi, mungkinkah vaksin tu dibuang begitu saja, dengan bayaran RM150, dan nombor sirinya ditulis dalam buku immunisasi antarabangsa? Saya bukan GeDAVak. Maka saya tak tahu taktik penipun di siang hari yang dibuat oleh doktor yang tak beretika ni.

Vaksin Meningococcal diberi untuk melindungi kita daripada jangkitan bakteria Neisseria meningitidis. Bakteria ni menyebabkan kita mendapat Meningococcal Disease termasuklah Meningococcal Meningitis. Meningitis ialah radang pada selaput otak dan saraf tunjang yang seterusnya boleh menyebabkan merebaknya jangkitan tu ke dalam darah (septicaemia).

Meningitis boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria, kulat atau pun virus. Sekiranya pesakit masih dapat diselamatkan selepas mendapat Meningococcal Meningitis, 1 daripada 5 pesakit boleh mengalami kecacatan kekal pada sistem saraf seperti lumpuh, pekak, sawan dan ketidakupayaan mental.

5-15% pesakit yang mendapat jangkitan bakteria ni menemui maut walaupun dirawat dengan antibiotik. Sekiranya tak dirawat, separuh akan meninggal dunia.

Kerana kadar kematian yang tinngi dan komplikasi yang teruk tulah, vaksin Meningococcal Quadrivalent menjadi kehendak wajib kerajaan Arab Saudi untuk mereka yang menziarahi Tanah Suci, terutamanya sebab bakteria ni sesusatu yang biasa ditemui di sana.

Bakteria ni mudah sangat berjangkit melalui sentuhan cecair badan seperti air liur, hingus, kahak, batuk dari mereka yang dijangkiti dengan bakteria ni. Lebih malang lagi, 5-10% pesakit langsung tak tahu pun mereka ni dijangkiti dan menjadi pembawa bakteria ni sebab mereka tak ada simptom yang menjurus kepada meningitis.

Vaksin Meningococcal 90% efektif dalam tugas dia nak melindungi kita dari Neisseria meningitidis. Apa yang vaksin ni buat ialah, antigen dari bakteria Neisseria meningitidis diproses dan molekul polisakarida (conjugate) diletak pada antigen tu untuk menambah keberkesanan vaksin tu nanti. Status halalnya tak perlu disangkal lagi.

Antigen yang ada polisakarida dalam vaksin tu akan mencetuskan reaksi pada sistem immunisasi badan kita untuk menghasilkan antibodi spesifik melawan jangkitan Neisseria meningitidis yang ada 4 serotypes iaitu A, C, W135 dan Y. Katakanlah jemaah tu terdedah pada bakteria ni semasa menunaikan ibadah di sana, badan dia dah bersiap sedia dengan antibodi nak melawan jangkitan tu.

Vaksin ni mesti diberikan kepada bakal jemaah minimum 2 minggu sebelum tarikh berangkat dan tahap perlindungannya boleh bertahan sehingga 3 tahun. Yang bagusnya vaksin ni, katakanlah jemaah tu balik ke tanahair selepas selesai ibadahnya, dan dia membawa jangkitan Neisseria meningitidis bersama dia, dia tak boleh menyebarkan bakteria tu pada orang lain yang berada di sekelilingnya.

Saya harap pihak berkuasa dapat mencari siapakah identiti GeDAVak yang didakwa bersubahat dalam konspirasi yang tak berasas ni. lesen doktor tu mesti ditarik balik serta-merta sekiranya dakwaan tu benar.

Jangan sebab banyak sangat pembohongan begini yang berlaku sehingga kerajaan Arab Saudi tak percaya dah dengan kredibiliti doktor di Malaysia dan rakyat kita tak dibenarkan lagi ke Tanah Suci Mekah. Siapa yang rugi? Kita juga kan.

NOTA KAKI:
Saya menyampah dengan orang yang sengaja tak nak mengeja dengan betul.

Sumber : Dr Rusyainie Ramli

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di