Siakap Keli

“Kesakitan Ini Semakin Tak Dapat Ditanggung,” Seluruh Dunia Merintih Lihat Gambar Tragis Serangan Israel Di Bumi Gaza

Beberapa hari lalu, sebanyak 70 roket telah dilancarkan di sekitar Gaza. Semuanya kerana satu, mahu membunuh rakyat Islam yang tidak berdosa.

Sebelum itu, Israel mendakwa sayap ketenteraan Hamas, Brigade Al-Qassam telah melancarkan roket ke wilayahnya yang menyebabkan sekurang-kurangnya 7 orang cedera termasuk kanak-kanak.

Media antarabangsa juga melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang melakukan lawatan ke Amerika Syarikat ketika kejadian berkata pihaknya akan membalas serangan roket berkenaan dengan kekuatan penuh.

Ketegangan semakin memuncak berhampiran pagar Gaza-Israel susulan perhimpunan berterusan oleh para penunjuk perasaan yang menuntut hak untuk pulang ke tanah tumpah darah mereka di bumi asal Palestin.

Susulan tragedi berdarah ini, Facebook Gaza News berkongsi gambar-gambar tragis penduduk tempatan yang merintih mengenangkan nasib mereka dengan tempat tinggal yang kebanyakannya telah musnah.

Perkongsian gambar itu bukan sahaja meruntun hati rakyat Malaysia, namun seluruh dunia.  Rata-rata mereka minta mendoakan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di sana.

Seorang ibu dalam kesakitan selepas rumahnya dimusnahkan malam tadi oleh kapal perang Israel.

Kanak-kanak Palestin menyelamatkan barang-barang mereka selepas rumah mereka dimusnahkan malam tadi.

Kemusnahan yang berlaku di ibu pejabat Hamas oleh kapal perang Israel.

Rakaman kemusnahan yang disebabkan oleh masjid Omar Bin Abed Al-Aziz di utara Gaza, akibat serangan udara malam tadi.

Ketika ini Israel menambah kekuatan tenteranya di Gaza sebagai langkah awal sekiranya serangan akan berterusan. Dalam serangan yang telah dilancarkan oleh Israel semalam (waktu Gaza) banyak kemusnahan telah berlaku, antaranya ialah Bangunan Al Mutazim, Pejabat Ismail Haniyah, Masjid Omar Bin Abed Al Azeez, Kelab Sukan Beit Honoun, Sekolah memandu, Kawasan Pertanian, Pelabuhan KhanYounis, Kawasan Mujahidin.

Serangan udara turut disasarkan ke kawasan awam dan bangunan kerajaan serta kediaman rakyat Palestin.

Ketika ini rakyat Palestin memerlukan doa-doa daripada rakyat Malaysia serta sumbangan yang berterusan. Serangan selama 2 hari ini telah mengakibatkan 30 buah rumah hancur serta merta manakala 500 yang lain mengalami kerosakan.

Melihat kepada keadaan kesengsaraan rakyat Palestin ketika ini, marilah kita bersama-sama menyumbang semampu kita bagi meringankan segala penderitaan yang mereka alami.

Pastinya ketika ini, ramai dalam kalangan rakyat Palestin yang mengalami trauma khususnya golongan kanak-kanak. Mereka memerlukan sokongan daripada kita semua untuk terus bertahan dan menjalani kehidupan yang lebih baik.
Jangan berhenti untuk berdoa dan kongsikan penderitaan mereka kepada seluruh dunia. Paling utama bantulah mereka.

Sumber: Gaza News, Aman Palestine

Nur Farra