Siakap Keli
Gambar : Nor Asilah Arahim ditenangkan ahli keluarga - Bernama

Jurutera Maut Kemalangan Baru Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Pertama

Bachok : Jurutera yang maut bersama empat anggota keluarganya dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kampung Jeram Besu di sini, awal pagi semalam, baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pertama.

Lebih memilukan, Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27, juga baru bergelar bapa setelah dikurniakan seorang cahaya mata berusia 62 hari.

Nor Asilah Arahim, 29, berkata beliau dan suaminya baru sahaja menyambut  hari ulang tahun perkahwinan pertama pada 23 Mac lepas dan mereka dikurniakan anak perempuan, Maryam Medina.

Beliau berkata suaminya dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri majlis akad nikah adik perempuannya di Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan.

“Lima jam selepas saya menerima  mesej menerusi Whatsapp pukul  satu pagi daripada Allahyarham,  saya dikejutkan dengan kehadiran anggota polis yang memaklumkan suami saya meninggal dalam kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Jelawat di sini,  awal pagi tadi.

Muhammad Faezuan,  jurutera di sebuah kilang di Pelabuhan Klang, antara lima yang  terkorban apabila kereta yang dinaiki bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu bertembung dengan sebuah bas  ekspres yang  datang secara bertentangan, awal  pagi semalam.

Empat mangsa lain ialah Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, Mohd Sajury Abdullah, 63, Sobariah Haron, 64,, dan Uwais AlQurney Abdullah, 6, yang akan dikebumikan di Kampung Kolam, Bachok, pagi ini.

Nor Asilah berkata beliau terkilan suaminya tidak sempat memakai pakaian sedondon bagi perkahwinan adiknya, yang sudah siap digosok untuk dipakai bagi menyambut tetamu.

Sementara itu, ibu Muhammad Faezuan, Nazihan Abdullah, 51, berkata keluarganya reda dengan ketentuan Ilahi dan majilis perkahwinan adiknya, Dina Amra, 26, dengan pasangan dari Melaka diteruskan walaupun ketiadaan abangnya yang merupakan anak kedua daripada enam adik beradik.

Sementara itu, jenazah Allahyarham  yang tiba pukul  1.10 pagi dari Raub selamat dikebumikan di kawasan perkuburan Kampung Kubang Chenok di sini pukul 2.30 pagi tadi, selepas solat jenazah di Masjid Jelawat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.