Siakap Keli

Juruterbang Perlu Lalui Ujian Alkohol Rambang Sebelum Berlepas Dari Singapura

Mulai 31 Mac, semua juruterbang yang akan meninggalkan Lapangan Terbang Changi dan Seletar dikehendaki untuk menjalani ujian alkohol yang diadakan secara rambang, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Ujian alkohol secara rambang yang akan diadakan oleh CAAS adalah sebahagian daripada usaha memperketat peraturan tidak mengambil minuman keras oleh setiap juruterbang ketika sedang dalam perkhidmatan.

Ia adalah berikutan daripada kes Singapore Airlines (SIA) yang terpaksa membatalkan penerbangan dari Melbourne ke Wellington selepas juruterbangnya gagal ujian alkohol. Daripada kejadian ini, CAAS mengamalkan sifar toleransi kepada minuman keras.

Penerbangan tertentu yang dipilih secara rawak perlu melakukan pemeriksaan alkohol dan setiap juruterbang perlu melakukan ujian nafas. Jika juruterbang didapati mempunyai kadar alkohol melebihi 0.02 gram (20mg) bagi setiap 210 liter nafas yang ditetapkan, tidak akan dibenarkan melakukan penerbangan.

Had itu ditetapkan berdasarkan sejajar dengan ‘toleransi sifar’, dengan membenarkan hanya sejumlah kecil sahaja alkohol dalam nafas oleh faktor-faktor lain seperti ubat-ubatan atau ubat cuci mulut.

Jika para juruterbang yang didapati menerbangkan pesawat di bawah pengaruh alkohol, mereka boleh dikenakan denda sebanyak S$50,000 (RM150,000) dan boleh dipenjara sehingga dua tahun. Jika juruterbang itu ditangkap untuk kesalahan yang sama, denda boleh dikenakan sebanyak S$100,000 (RM300,000) dan penjara selama lima tahun.

Syarikat-syarikat penerbangan asing juga digalak supaya melaksanakan program tersebut, menurut CAAS.

“CAAS dan masyarakat penerbangan memandang serius mengenai tindakan juruterbang yang mengendalikan pesawat ketika di bawah pengaruh alkohol.

“Ujian alkohol yang baru dan program-program pengurusan akan membantu memastikan agar keupayaan para juruterbang untuk mengendalikan pesawat tidak terjejas akibat alkohol,” kata Ketua Pengarah CAAS, Kevin Shum.

Pada lewat tahun lalu, Jepun juga menyatakan bahawa ia akan mula menjalani ujian alkohol bagi para juruterbang. Ini selepas seorang juruterbang bersama Japan Airlines diberkas di London sejurus sebelum melakukan penerbangan kerana berada dalam keadaan mabuk.

Sumber: Berita MediaCorp

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia