Siakap Keli

(Video)Boleh Bawa Sehingga 200 Kg Muatan, Kementerian Kongsi Video Pengenalan Mobiliti Udara Vector

Umum sudahpun maklum hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan, melalui menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berhasrat mahu memperkenal kereta terbang buatan nasional tidak lama lagi.

Sehubungan itu, ketika di acara Pameran Udara dan Maritim 2019 baru-baru ini, sebuah model kereta terbang dikenali sebagai Vector diperkenalkan dan mendapat liputan meluas daripada media dan orang awam.

Manakala sebentar tadi, melalui laman facebook kementerian, sebuah video pengenalan secara lebih dekat kepada Vector telah dimuat naik.

Melalui video tersebut, model 3D itu dikatakan menjadi bukti bahawa rekaan yang dipamerkan memang berupaya untuk terbang.

Mempunyai berat 600 kilogram, Vector mampu mengangkut muatan sehingga 200 kilogram selain mampu terbang diantara 30 hingga 90 minit.

Selain itu, bahagian kargo Vector juga boleh ditukar ganti untuk 3 tujuan berbeza iaitu kecemasan dan tinjauan, penghantaran kargo dan membawa penumpang.

Melalui kenyataan media yang dimuat naik, Kementerian menjelaskan model yang dipamerkan di LIMA 2019 merupakan model skala 1:10 manakala prototaip sebenar dijangka hanya akan disiapkan menjelang hujung tahun 2019.

Kementerian turut memaklum bahawa projek pembangunan Vector dikendalikan oleh Aerodyne Group yang terbukti berpengalaman dalam perniagaan penyediaan perkhidmatan dron di seluruh dunia.

Aerodyne Group merupakan syarikat berusia 4 tahun yang berpangkalan di Petaling Jaya dan mempunyai kakitangan seramai 260 orang yang beroperasi di 24 buah negara.

Sumber: Kementerian Pembangunan Usahawan

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.