Siakap Keli
Gambar : Bernama

Kerajaan Sentiasa Faham Denyut Nadi Dan Derita Rakyat – Dr Wan Azizah

Seremban : Kerajaan sentiasa memahami denyut nadi dan derita rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, kepimpinan negara tidak pernah melupakan permasalahan dihadapi rakyat, malah akan membantu sebaik mungkin dalam segala aspek.

”Hari ini, saya menziarahi beberapa rumah, dan melihat sendiri keadaan mereka dan bagaimana kita boleh tolong. 

“Ada dalam kalangan rumah yang kita lawat itu tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada sumber ketika ditemui pada program Jejak Asnaf Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.

Katanya dalam kunjungan tersebut beliau menemui penduduk yang menghidapi pelbagai masalah kesihatan seperti sakit buah pinggang dan kanser, malah tidak terkecuali golongan warga emas.

Ditanya sama ada JKM akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, pesakit dialisis Azri Ismail, 40, antara yang diziarahi Wan Azizah berkata beliau tidak menyangka akan menerima kunjungan pemimpin nombor dua negara itu, serta menyifatkan kunjungan itu membuktikan keprihatinan timbalan perdana menteri.

Pesara tentera yang menderita sakit berkenaan sejak tiga tahun lepas berkata beliau juga telah menyampaikan hasrat kepada Wan Azizah membantu meringankan bebanan kos dialisis yang ditanggungnya.

“Saya belum pernah terima bantuan JKM, dan kalau boleh saya minta bantuan bulanan untuk menampung kos dialisis yang separuhnya dibayar Jabatan Hal Ehwal Veteran.

“Pun begitu saya amat berterima kasih atas kunjungan Datuk Seri (Wan Azizah),” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.