Siakap Keli

Pengiktirafan UEC Bagi Duduki CLP Bukan Dilakukan Kementerian Pendidikan – Maszlee

Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bukan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“CLP bukan di bawah KPM, CLP adalah di bawah undang-undang. Anda tidak boleh menyuruh saya bercakap bagi pihak Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Masyarakat Pakatan Harapan Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Perkara berkaitan UEC di bawah kementerian boleh dirujuk kepada Pasukan Petugas Dasar UEC yang ditubuhkan untuk mengemukakan maklumat dan mengemukakan syor berhubung isu pengiktirafan sijil itu, katanya.

Menurut Maszlee, sidang media mengenai UEC sudah diadakan pihaknya baru-baru ini dan pihak media diminta merujuk semula kenyataan yang dibuat pada sidang media itu.

“Kita telah tubuh satu jawatankuasa khas (Pasukan Petugas Dasar UEC) dan baru-baru ini kita sudah mengadakan sidang media. Pasukan petugas ini dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan silibusnya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Jumaat lalu, Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) Tommy Thomas yang juga Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM dan A-Levels bagi tujuan menduduki peperiksaan CLP.

Menurut Tommy mulai 1 Jan 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada peringkat Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM / 0-Levels / setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.