Siakap Keli

Penyerang Masjid Di Christchurch Buat Aduan Rasmi, Dakwa Hak Asasinya Dinafikan Penjara

Pengganas yang terlibat dalam serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand beberapa minggu lepas membuat aduan rasmi mengenai layanan yang diterima dan haknya yang dinafikan ketika ditahan di penjara, lapor New Zealand Herald.

Tertuduh, Brenton Tarrant, 28, ketika ini ditahan di Penjara Auckland setelah diterbangkan dari Christchurch menggunakan pesawat tentera selepas selesai pembicaraan kali pertama di mahkamah.

Ketika di penjara, tertuduh diasingkan daripada tahanan-tahanan yang lain manakala tingkahlakunya diperhatikan 24 jam sama ada secara terus oleh pegawai penjara mahupun melalui kamera pengawasan litar tertutup (CCTV).

Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan menerima pelawat ataupun berkomunikasi dengan dunia luar sama ada melalui telefon bimbit, radio serta televisyen.

Melalui aduannya kepada Jabatan Pemulihan, tertuduh memaklumkan bahawa hak asasinya telah dinafikan oleh Jabatan Penjara.

Sumber daripada Jabatan Pemulihan mengesahkan menerima aduan yang dibuat tertuduh.

”Tertuduh diurus dengan baik mengikut Akta Pemulihan 2004 dan garis panduan yang ditetapkan oleh antarabangsa dalam mengurus tahanan penjara.

”Untuk tujuan keselamatan, tiada maklumat lanjut yang akan didedahkan,” kata sumber tersebut.

Menurut Akta Pemulihan New Zealand, mana-mana tahanan penjara mempunyai hak untuk mendapatkan layanan minimum terhadapan keperluan tertentu, termasuklah tempat tinggal, makan dan minum tiga kali sehari.

Selain itu, tahanan juga mempunyai hak untuk menerima pelawat seminggu sekali untuk tempoh 30 minit dan satu panggilan keluar selama lima minit sekali seminggu.

Bagaiamanapun akta tersebut turut menyatakan semua hak ini boleh dinafikan sekiranya ‘boleh mewujudkan suasana kecemasan dalam penjara atau keselamatan penjara tergugat atau keselamatan tahanan-tahanan lain boleh terancam’.

Pengarah penjara juga boleh menyekat semua hak tersebut sekiranya pihak penjara menerima arahan untuk mengasingkan bertujuan ‘menjamin keselamatan atau melindungi tahanan’.

Tetuduh setakat ini dibenarkan untuk keluar membuat senaman sekitar sejam setiap hari.

Sumber: New Zealand Herald

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.