Siakap Keli
Gambar : Google

Rundingan Air Malaysia Dan Singapura Perlu Diteruskan – Saifuddin

Kubang Pasu : Rundingan mengenai penjualan air kepada Singapura menerusi Perjanjian Air 1962 memerlukan usaha berterusan, dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua buah negara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, rundingan semakan harga air mesti diteruskan, kerana Malaysia merasakan ianya terlalu rendah dan tidak berpatutan.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara lain yang memerlukan rundingan dengan Singapura, namun perkara penting ialah isu air di mana ia sering dibangkitkan di dalam Parlimen.

“Saya rasa Singapura rakan yang baik, dan kita boleh dapat kata sepakat yang baik untuk kedua negara,” katanya ketika sesi soal jawab sempena lawatannya ke Pusat Pengajian Antarabangsa (SoiS) Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

Isu berhubung perjanjian air antara Malaysia dan Singapura kembali berbangkit pada pertengahan tahun lepas apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mengkaji semula Perjanjian Air 1962, menjadikannya rundingan kedua yang dinilai antara kedua-dua negara selepas penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Dr Mahathir berkata, bekalan air adalah antara isu yang perlu diselesaikan dengan Singapura secara diplomatik di mana republik itu bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Dalam dua siri pertemuan dengan kerajaan sebelum ini, Singapura bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.

Kerajaan Malaysia mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011, tetapi negara itu menolak.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di