Siakap Keli

Berkat Jadi Jujur, Lelaki Pulangkan Dompet Berisi Wang Dapat Hadiah 200 Tan Lobak Dijual Untuk Biaya Kos Pembedahan Anak

Kejujuran seorang lelaki yang memulangkan dompet berisi wang sebanyak 20,000 Yuan (RM 12,100) kepada pemiliknya walaupun ketika itu terdesak untuk mengumpul dana pembedahan tulang sum-sum anaknya akhirnya dibalas dengan kebaikkan.

Lelaki tersebut yang berasal daripada wilayah Shandong, ditawarkan sebanyak 200 tan lobak merah untuk dijual oleh seorang petani, yang juga pemilik dompet, sebagai ucapan terima kasih sekaligus bagi membiayai kos pembedahan.

Menurut Tang Shaolong, suatu hari dia membawa anaknya ke sebuah hospital di Jinan, untuk merawat masalah darah yang dikenali sebagai sindrom hemophagocytic. Kos bagi melakukan rawatan tersebut berjumlah 400,000 Yuan (RM 243,027), manakala Tang hanya mampu menyediakan separuh daripada jumlah tersebut sahaja.

Buntu dengan jumlah dana yang tidak mencukupi, Tang kemudian keluar sebentar daripada hospital untuk membeli makanan buat anaknya. Ketika itulah dia berjumpa dengan dompet berisi wang tersebut di depan hospital. Di dalam dompet tersebut terisi dengan wang tunai, kad bank, kad bisnes dan lesen memandu.

”Jujurnya, saya sangat gembira melihat wang yang begitu banyak. Saya fikir, wang itu dari Tuhan kerana saya dalam keadaan terdesak untuk menyelamatkan anak saya. Wang itu sangat membantu.

”Namun, bila difikirkan semula, wang itu milik orang lain yang mungkin mahu digunakan untuk menyelamatkan nyawa orang disayanginya kerana saya menemui dompet tersebut di depan hospital,” kata Tang.

Dia kemudian berjaya menemui pemilik dompet tersebut, Ding Yilong, dan memulangkannya. Ding mahu memberi hadiah kepada Tang namun Tang berkeras tidak mahu menerimanya ketika itu.

”Jika pemberian ini adalah gaji di atas usaha keras saya, pasti saya terima. Tetapi saya hanya menemui dompet ini ditepi jalan dan memulangkan kepada pemiliknya. Jadi saya tidak boleh menerima hadiah ini,” kata Tang.

Mereka kemudian berpisah namun berjanji untuk saling berhubungan melalui media sosial sehinggalah satu hari Ding mendapat tahu kesulitan yang sedang ditanggung oleh Tang.

Ding menghubungi Tang dan memberitahu bahawa perniagaannya masih lagi baru dan tidak mempunyai banyak untung, tetapi dia mempunyai stok 200 tan lobak dalam gudang yang perlu dijual sebelum Mei ini.

”Jadi saya mengambil keputusan untuk memberikan semua lobak tersebut kepada Tang, menjualnya bersama-sama bagi mendapatkan wang untuk pembedahan anaknya,” kata Ding.

Kisah mereka kemudian sampai kepada pengetahuan media tempatan, Qilu Evening News. Tidak lama selepas itu ia menjadi tular dan mereka berjaya menjual semua lobak-lobak tersebut dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Secara keseluruhan, mereka berjaya mengumpul hasil jualan sebanyak 500,000 Yuan (RM 303,700), lebih daripada jumlah yang diperlukan oleh Tang.

Dia bersyukur dan menyerahkan baki kos pembedahan kepada hospital dan ketika ini menunggu tarikh pembedahan anaknya yang dijadualkan dalam tempoh sebulan.

Sumber: SCMP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.