Siakap Keli

Kerugian RM 100,000, Kilang Jeruk Madu Pak Ali Dipecah Masuk Dua Lelaki Bertopeng

Hampir semua rakyat Malaysia pasti tahu mengenai Jeruk Madu Pak Ali yang popular seluruh Malaysia. Malah para pelancong yang berkunjung ke negara kita tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri keunikkan jeruk yang dihasilkan dari buah-buahan berkualiti dan terpilih dari ladang.

Malah para pelancong dan orang awam boleh melihat dengan lebih jelas cara pembuatan jeruk di kilang mereka yang terletak di Kawasan Perisdustrian (IKS) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Kilang yang dibuka sejak dari 2009 itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk memilih dan membeli barangan yang dikeluarkan oleh Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd.

Gambar : Pak Ali
Gambar : Pak Ali

Malang tidak berbau, menurut laporan Bernama, dua orang lelaki bertopeng memecah masuk ke dalam kilang tersebut dan berjaya melarikan wang tunai RM100,000. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata wang tunai hasil jualan jeruk yang belum sempat dimasukkan ke akaun bank itu disimpan dalam satu peti besi dipercayai dipecahkan kedua-dua lelaki terbabit menggunakan mesin penebuk dinding.

Gambar : Pak Ali

“Kejadian itu hanya disedari kira-kira 9 pagi ini selepas beberapa pekerja mendapati siling kilang itu pecah di lantai dan barangan dalam pejabat berselerak sebelum pengurus kilang tersebut membuat laporan polis,” katanya di sini.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berkenaan mendapati kedua-dua lelaki bertopeng itu dengan berbaju lengan panjang serta bersarung tangan dilihat masuk ke pejabat tersebut melalui siling kira-kira 12.15 tengah malam tadi.

“Polis turut menemui beberapa peralatan digunakan suspek seperti alat pembuka dan mata mesin penebuk dinding di lokasi kejadian. Semasa kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas,” katanya sambil menambah polis kini giat mengesan kedua-dua suspek terbabit.

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.