Siakap Keli
Foto: Bernama

Terengganu Batal Projek Bas Dua Alam, Walau Sudah Bayar RM2.4 Juta

Kerajaan negeri Terengganu akan membatalkan projek pembelian sebuah bas amphicoach atau dikenali bas dua alam, meskipun sudah membayar sebanyak RM2.7 juta untuk bas itu dengan baki pembayaran sebanyak RM336,350.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata ia berikutan pihak kontraktor tidak dapat mematuhi syarat dan terma kontrak selaras dengan klausa 20 (a), Penamatan Pengajian Kontraktor.

Ariffin berkata bas amfibia itu juga gagal mendapat kelulusan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia bagi membolehkannya beroperasi di darat dan laut.

“Modifikasi yang dilakukan terhadap kenderaan itu juga tidak menepati kehendak JPJ dan Taman Laut, malah Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri Terengganu juga bersetuju dengan syor Jabatan Kerja Raya untuk menamatkan kontraktor itu,” katanya.  di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Awal tahun lepas, bas itu tenggelam di Sungai Terengganu semasa dipandu uji bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menerima semula wang yang telah dibayar itu, Ariffin berkata lazimnya ia akan dipulangkan apabila proses pembelian ditamatkan dan menyerahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk perincian lanjut.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab lisan, Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) meminta penjelasan kerajaan negeri  mengenai status terkini Amphicoach dan perancangan kerajaan negeri untuk memanfaatkannya dalam industri pelancongan.

Ariffin yang mengumpamakan projek Amphicoach itu sebagai  ‘pesakit kronik yang tidak boleh disembuhkan oleh doktor’  menarik perhatian dewan antaranya Ahmad Said, yang merupakan ADUN Kijal, dengan bertanya sama ada JPJ tidak boleh bertolak ansur dalam memberi kelulusan operasi.

Isu itu lebih hangat apabila dewan diberitahu bahawa kenderaan bas amfibia yang tiba di Terengganu ialah daripada jenama MAN bukannya Iveco Bus seperti yang ditempah namun menjelaskan ia adalah keputusan kerajaan negeri sebelum ini berdasarkan ketahanan dan kelasakan jenama itu.

Selain beberapa masalah teknikal lain, bas jenama MAN yang mempunyai 42 tempat duduk penumpang juga tidak mendapat kelulusan JPJ kerana tidak menepati kehendak teknikal agensi itu termasuk masalah untuk memindahkan penumpang sekiranya berlaku kecemasan di air.

Pembelian Amphicoach itu diilhamkan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu ia digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu. — Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)