Siakap Keli

Huawei P30 ‘Series’ Mula Dijual Bermula 6 April Ini, Ada Juga Gajet Khas Untuk Wanita Yang Berharga RM 799

Huawei melalui Huawei Malaysia melancarkan barisan telefon bimbit ‘flagship’, P30 untuk pasaran tempatan dalam majlis pelancaran bertempat di Sunway Convention Centre, Petaling Jaya bertemakan Rewrite The Rule of Photography, semalam.

Dalam acara yang turut dihadiri oleh wakil Huawei China, Huawei buat kali pertama mendedahkan telefon pintar paling dinanti oleh para peminat peranti berprestasi tinggi tempatan serta harga untuk pasaran Malaysia.

Menurut Huawei, terdapat 3 versi telefon pintar yang akan dibawa maksud iaitu Huawei P30 (8GB + 128GB ROM), P30 Pro (8GB + 256GB ROM) dan P30 Pro (8GB + 512GB ROM).

Walaupun untuk pasaran antarabangsa Huawei melancarkan siri P30 dengan empat pilihan warna, bagaimanapun bagi pasaran tempatan hanya terdapat tiga pilihan warna sahaja yang ditawarkan iaitu Breathing Crystal, Aurora dan Black.

Namun begitu, wakil Huawei Malaysia dalam sidang media memaklumkan bahawa pihaknya mempertimbangkan untuk membawa masuk pilihan warna keempat, Sunset Red tetapi bergantung kepada permintaan daripada pelanggan dalam negara.

Bagi Huawei P30, ia bakal dijual bermula harga RM 2,699. Manakala dua lagi versi P30 Pro masing-masing dijual bermula harga RM 3,799 (8GB/256GB ROM)  dan RM 4,399 (8GB/512GB ROM). Ketiga-tiga model mula dijual untuk pasaran Malaysia bermula 6 April ini.

Hadir dengan tetapan tiga kamera belakang, P30 Pro khususnya mempunyai keupayaan kamera luar biasa dengan keupayaan zooming sehingga 50 kali.

Dua versi P30 Pro mendapat pengiktirafan IP68, manakala P30 hanya memperoleh IP53.

Selain itu, Huawei turut mengumumkan program Level Up, khusus bagi para pengguna peranti kategori flagship sedia ada Huawei dimana mereka ditawarkan peluang untuk menukar telefon bimbit dan mendapatkan P30 secara ‘trade-in’.

Para pengguna hanya perlu mengunjungi mana-mana cawangan Huawei Experiential Store, lakukan pemeriksaan untuk menentukan keadaan telefon bimbit lama dan dapatkan model baru siri P30.

Huawei turut melancarkan beberapa produk berasingan antaranya komputer peribadi Huawei Matebook 3i dan jam tangan, Huawei Watch GT dalam acara sama.

Khusus untuk para pelanggan wanitanya, Huawei turut menawarkan Huawei Watch GT (42mm) yang boleh di dapati pada harga bermula RM 799.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.