Siakap Keli

14 Buah Rumah Rosak Teruk Dilanda Ribut Di Jitra

Kira-kira 14 buah rumah rosak teruk dalam kejadian ribut yang melanda di beberapa kampung, di sini petang semalam.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Paya Dudur, Kampung Paya Parit Latih, Taman Tunku Maheran, dan Kampung Paya Keriang Menyabung.

Ribut yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin serta beberapa pokok tumbang.

Seorang penduduk Kampung Paya Keriang Menyabung, Manih Chat, 73 berkata, kejadian menyebabkan dia kerugian hampir RM10,000 apabila sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin manakala siling rumah rosak.

Menceritakan kejadian tersebut Manih berkata, dia yang tinggal seorang diri terpaksa menjerit membaca sepotong ayat Al-Quran sebaik melihat pusaran angin yang kuat menghampiri rumah.

“Ketika itu hujan cukup lebat dan saya melihat pusaran angin yang bergulung-gulung dan warna putih sedang menghampiri rumah.

“Saya kemudian menjerit membaca Ayat Kursi sebelum pusaran itu hilang dan naik ke atas dan menerbangkan atap asbestos hingga air memasuki rumah dan merosakkan barangan elektrik dan perabot rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Azizan Ani, 64, pula berkata, keadaan sama turut berlaku ke atas kediamannya apabila keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin sejauh kira-kira 50 meter.

“Kejadian berlaku cukup cepat dengan angin kuat tiba-tiba menerpa rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat bumbung rumah akibat tercabut dan diangkat ke belakang rumah, saya hanya mampu berdoa agar tidak ditimpa siling,” katanya.

Azizan dan beberapa penduduk terlibat kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pagi ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Kedah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Hassanuddin Samsudin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dalam usaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada semua mangsa.

“Pagi ini pun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wakil pemimpin setempat datang melawat dan melihat keadaan mangsa untuk menilai kerosakan sebelum bantuan susulan dihulurkan,” katanya.

Sumber :  BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.