Siakap Keli

Mufti Jawab: Hukum Letak Patung Menyerupai Benda Hidup Di Dalam Rumah

Ibu bapa biasanya gemar membelikan anak-anak barangan mainan termasuk anak patung.

Namun, ada juga yang mempunyai hobi menyimpannya sebagai koleksi.  Acap kali kita dengar ‘kehadiran’ patung ini menghalang daripada malaikat masuk ke rumah.

Tapi, sejauh manakah kebenaran ini?

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu edisi soal dan jawab melalui portal rasmi jabatan itu menjelaskan isu ini. Semoga bermanfaat.

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum meletakkan patung di dalam rumah atau kereta sebagai perhiasan semata-mata?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Imam al-Nawawi berkata: Menurut para ulama’, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Oleh itu malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.

Malaikat-malaikat yang tidak masuk ke dalam rumah tersebut ialah Malaikat Rahmah iaitu malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuninya. Adapun Malaikat Hafazah, mereka masuk ke dalam setiap rumah dan tidak pernah berpisah dengan manusia dalam apa jua keadaan kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/207)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ” adalah dengan maksud malaikat rahmah, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Ungkapan “بَيْتًا” adalah dengan maksud tempat tinggal. Maksud “صُورَةُ تَمَاثِيلَ” pula ialah gambar (berbentuk) manusia dan binatang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/88)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abi al-Hayyaj al-Asadi, bahawa Ali bin Abi Talib R.A telah berkata kepadanya: “Tidakkah mahu aku ingatkan engkau sepertimana Rasulullah SAW ingatkan aku, bahawa:

لاَ تَدَعْ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ

Maksudnya“Janganlah engkau tinggalkan patung kecuali engkau telah membuatnya menjadi tidak berbentuk.”

Riwayat Muslim (969)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis di atas menunjukkan bahawa wujudnya perintah untuk mengubah patung (berbentuk) haiwan yang bernyawa. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/36)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”

Riwayat Imam al-Bukhari (6130)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Para ulama berdalilkan dengan hadis ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” (Lihat Fath al-Bari, 10/527)

Kesimpulan

Dalam isu seperti di atas, apabila disebut rumah – yang berbentuk tempat, yang kita gunakan – maka ia termasuk juga kereta dan seumpamanya.

Namun perlu dilihat maksud patung tersebut, adakah ia patung yang dihormati, patung yang besar dan yang dipuja, maka ini jelas dilarang.

Adapun patung permainan kanak-kanak yang kecil – yang tidak diagungkan dan dimuliakan seperti mana kanak-kanak yang ada kalanya melempar patung tersebut, meleraikan anggota patung mainan, ia hanya dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak, maka dibolehkan dengan syarat ia bukan patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.

Walaupun begitu, kami mengesyorkan supaya dielakkan agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam apa yang disebutkan bahawa:

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya“Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”

Semoga kita dapat mendidik keluarga dan anak-anak kita agar benar-benar menghayati agama dengan sebaik mungkin. Amin.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di