Siakap Keli

Malaysia Tarik Diri Daripada Statut Rom

Perdana Menteri Dr Tun Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Beliau berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini.

Keputusan untuk menarik diri daripada Statut itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini, kata Dr Mahathir pada sidang media di sini.

ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom.

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Sumber : BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.