Siakap Keli
FOTO: Koperasi PKNS

MBSA Sediakan 10% Tapak Bazar Ramadhan Untuk Golongan OKU Dan Ibu Tunggal

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan kuota 10 peratus bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal untuk berniaga di Bazar Ramadan pada tahun ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata pemberian kuota berkenaan merupakan pendekatan baharu yang dilakukan MBSA untuk membantu golongan ini mencari rezeki tambahan di bulan Ramadan.

“Ini adalah pendekatan baharu yang dilakukan oleh MBSA iaitu 10 peratus tapak pada setiap lokasi bazar Ramadan sekitar Shah Alam pada tahun ini diberikan khusus kepada golongan OKU dan ibu tunggal.

“Sebagai contoh, jika terdapat 200 tapak gerai di sesebuah lokasi, 20 daripadanya akan diperuntukkan khas untuk golongan ini untuk berniaga dan ini merupakan cadangan ahli majlis yang kami bersetuju untuk laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan  Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Beliau berkata sehingga hari ini MBSA telah menerima banyak permohonan daripada golongan berkenaan untuk berniaga di setiap lokasi bazaar, bagaimanapun beliau tidak mendedahkan berapa jumlah berkenaan.

Pada majlis itu, sebanyak 1,815 permit bazar Ramadan telah dikeluarkan kepada para peniaga bagi 31 lokasi tapak bazar MBSA yang telah disediakan.

Sementara itu, MBSA turut menyediakan kawasan khas di kawasan parkir di Seksyen 9 di sini yang mampu memuatkan 20 penjaja trak makanan berniaga.

Umat Islam negara ini dijangka menunaikan rukun Islam ketiga itu pada 6 Mei.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)