Siakap Keli

“Mengindang-Ngindang Padi Huma, Mengindang Dalam Tampian,” 20 Tahun Lagu Hati Kama, Ramai Tak Tahu Karya Pak Ngah Ini Ada Sejarah Tersirat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pak Ngah atau nama sebenarnya Suhaimi Mohd Zain adalah nama yang besar dalam industri muzik suatu ketika dahulu. Beliau merupakan seorang komposer dan menerbit lagu yang terkenal di Negara ini. Sebut sahaja namanya pasti kita akan teringat lagu-lagu Irama Malaysia, tradisional dan etnik kreatif yang diserlahkan melalui karyanya. Malah lirik yang puitis dan lagunya mempunyai maksud tersirat sentiasa menjadi siulan sesiapa sahaja yang mendengar.

Allahyarham Suhaimi Mohd Zain (Gambar : Ensiklopedia)

Semangat juangnya menitipkan mesej dalam setiap lagu menjadikan karyanya mempunyai nilai tersendiri, Disebabkan itulah sehingga kini, lagu-lagu yang dicipta serta digubah olehnya masih dimainkan di radio, televisyen mahupun acara pentas. Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan, lagu seperti Ala Dondang, Cindai, Nazam Berkasih, Dikir Puteri, Nirmala dan Hati Kama telah diulang dengar tanpa jemu serta mendapat pelbagai anugerah.

Dan kini setelah 20 tahun, lagu Hati Kama yang dicipta oleh Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh Hairul Anuar Harun mula ‘berlayar kembali’. Ia telah dicipta pada tahun 1999 dan didendangkan oleh dua penyanyi tersohor negara, Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza. Disebalik lirik yang tertulis ini terselit cerita  dari zaman terdahalu yang telah terbuku.

Interpretasi Di Sebalik Bait Puitis

Antara lirik yang dipetik dari lagu itu :

Mengindang-ngindang padi huma

Mengindang dalam tampian

Memandang-mandang hati kama

Memandang dalam renungan

Gambar Hiasan
Dikatakan bahawa lirik menceritakan tentang dua orang gadis yang sedang menampi padi huma. Sambil mereka menampi padi, datang seorang jejaka melalui kawasan sawah tersebut. Mereka berdua lantas sama-sama melihat siapa gerangan lelaki tersebut.

 

Risik didefinisikan oleh Kamus Pelajar Edisi Keempat sebagai menyelidik sesuatu secara diam-diam. Lalu kedua gadis tadi pun terfikir dan tertanya-tanya dari mana asal lelaki itu. Leladitafsirkan sebagai orang yang bertingkah laku elok yang merujuk kepada si jejaka. Segala perilaku baik si jejaka telah berjaya menarik perhatian mereka.

Terbayang senyuman bunga gugur

Siapa gerangan bagaikan betara

Adakah dia hamba sahaya

Ataupun bijak mentafsir mimpi

Mereka cuba meneka-neka siapa jejaka berkenaan. Betara dinyatakan oleh Kamus Pelajar Edisi Kedua sebagai gelaran untuk dewa atau raja. Atau mungkin jejaka itu hanyalah seorang hamba abdimahupun seorang ahli nujum .

Mungkinkah jua benar diduga 

Hingga terusik hati nurani

Mengindang-ngindang padi huma

Mengindang dalam tampian 

Dan disebabkan ketampanan serta tingkah laku jejaka itu,  hati kedua gadis tadi telah tertambat kepadanya.

Tawanlah jiwaku

Bebaskan sayap juwita

Turutlah janjiku

Tinggalkan segenap lara

Kedua wanita itu saling cuba untuk menawan hati jejaka berkenaan dan merayu-rayu untuk dibalas cinta mereka. Juwita atau juita diinterpretasikan sebagai perasan kasih sayang, nyawa mahupun buah hati . Oleh itu, mereka berdua berasa teringin untuk mengungkapkan perasaan cinta dan menjadi pilihan jejaka tersebut.

Diinspirasikan Oleh Sulalatus Salatin

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu merupakan sebuah manuskrip yang ditulis oleh beberapa orang pengarang yang menceritakan tentang karya sejarah berkaitan dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah Melayu ini dihasilkan di Melaka semasa Sultan Mahmud Syah‘berundur’ pada tahun 1511.

Menurut sumber, pada tahun 1528 manuskrip asal telah dibawa dari Kampar ke Johor. Teks yang ada kini merupakan teks salinan yang dipercayai wujud sejak tahun 1356, disunting pada tahun 1612 dan ‘diterbitkan’ pada tahun 1808 [1].

William G Shellabearyang menceritakan tentang Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah meminta Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Mahmud dan lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang untuk menyunting naskah salinan Sejarah Melayu.

Dan dalam petikan buku tersebut ada menyatakan :

Maka ada dua orang perempuan balu berhuma padi, terlalu luas humanya; adalah namanya seorang Wan Empuk dan se­orang namanya Wan Malini. Maka terlalulah jadi padinya.

Tiada dapat terkatakan; telah Hampir akan masak padinya itu. Sebermula maka tersebutlah perkataan anak Raja Suran yang tiga bersaudara, yang dipeliharakan oleh Raja Aktabu’l­-Ard. Setelah besarlah terlalu baik parasnya anak raja ketiga itu; yang tua dinamai oleh Raja Aktabu’l-Ard Nila Pahlawan, yang Tengah dinamai Krisyna Pandita, dan yang bongsunya dinamai Nila Utama.

Maka Wan Empuk pun fikir dalam hatinya, “Anak raja mana orang muda ketiga ini, sekonyong-konyong ada di Bukit Si Guntang ini, dari mana gerangan datangnya? Dan apa jua bangsanya? Baik aku bertanya kepadanya; entah sebabnya maka padiku berbuahkan emas, dan tanah negara bukit itu pun seperti emas.

Setelah keduanya berfikir, lalu bertanya, “Siapa tuan hamba ketiga ini? Anak ‘raja mana tuan hamba? Anak raja jinkah atau anak raja perikah, atau anak raja inderakah? Hendaklah berkata benar tuan Hamba ketiga kepada kami kedua ini; kerana lamalah kami duduk di lembah Bukit Si Guntang ini, seorang manusia pun tiada datang ke mari, baharu pada hari inilah kami melihat tuan hamba ketiga ini.”

Sebenarnya dua orang gadis yang dimaksudkan dalam lagu Hati Kama itu adalah Wan Empuk dan Wan Malini yang sedang menampi padi lalu terpikat dengan tiga putera raja Melayu ke Bukit Siguntang Mahameru di Palembang. Setiap bait ayat dalam cerita ini seolah-olah mirip dengan lirik yang ditulis oleh Hairul Anuar Harun ini.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=W3CBB2Stpds]

Rujukan

1] A. Samad Ahmad (ed.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.

Sumber : Marr Mohammad & Shamsul Amin 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.