Siakap Keli

Tahu Ada Kematian Bila Jiran Terhidu Bau Busuk, PDRM Ingatkan Orang Ramai Jangan Abai Keselamatan Orang Tua Tinggal Berseorangan

Tidak dapat dinafikan, kadang-kala ada si anak terpaksa meninggalkan ibu-bapa bergelar warga emas sendirian di rumah kerana mahu keluar bekerja mencari pendapatan.

Pada masa yang sama, ada juga anak-anak yang terpaksa tinggal berjauhan dengan orang tua yang menetap di kampung atas alasan yang sama. Bagaimanapun sebagai anak yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas untuk memastikan kebajikkan orang tua, lebih-lebih lagi jika mereka uzur, sentiasa dalam pemerhatian.

Tidak mahulah nanti anak-anak mendapat khabar kurang enak mengenai ayah dan ibu sendiri daripada mulut orang lain, dari jiran yang tiada kena-mengena pun dengan kita kan.

Berikut adalah beberapa peringatan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya anda mempunyai orang tua yang tinggal bersendirian.

JANGAN ABAIKAN KESELAMATAN IBU ATAU BAPA YANG TINGGAL BERSEORANGAN

Anda mungkin pernah terbaca mengenai beberapa kes warga emas yang meninggal dunia seorang diri, tanpa pengetahuan sesiapa, baik jiran mahupun anak-anak.

Lebih menyedihkan, kematiannya hanya diketahui beberapa hari kemudiannya, selepas jiran tetangga terhidu bau busuk di rumah mangsa.

Antara kes kematian melibatkan warga emas yang direkodkan adalah seperti masalah kesihatan, kemalangan di dalam rumah dan kes jenayah seperti samun.

Sebagai insan yang prihatin, ingin Admin ingatkan kepada anda beberapa perkara sekiranya mempunyai ibu atau bapa yang tinggal berseorangan:

1. Ziarah dan hubungi mereka sekerap yang mungkin.

2. Pastikan keadaan tempat tinggal mereka bebas bahaya dan dilengkapi sistem keselamatan yang baik.

3. Sentiasa ingatkan mereka untuk tidak mudah mempercayai mana-mana individu yang tidak dikenali.

4. Paparkan nombor kecemasan seperti balai polis dan hospital yang terdekat di tempat-tempat yang mudah dilihat di dalam rumah orang tua anda.

5. Berbuat baik dengan jiran tetangga supaya mereka dapat membantu melihat keadaan ibu atau bapa dan segera menghubungi anda jika berlaku sebarang kecemasan.

6. Sebaiknya, jika keadaan mengizinkan, pelawa mereka untuk tinggal bersama-sama anda bagi memastikan keperluan dan keselamatan mereka sentiasa dijaga. Ambil peluang yang ada untuk berbakti kepada orang tua selagi masih diberi peluang olehNya.

Sekiranya mengetahui ada warga emas yang tinggal berseorangan dan sakit serta tidak mampu menguruskan diri di kawasan perumahan anda, hubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan bantuan diberikan.

Portal JKM: http://www.jkm.gov.my

Hotline (24 jam): Talian Kasih 15999

Sumber: PDRM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.