Siakap Keli

(Video)Malang Seekor Paus Bunting, Ditemui Mati Terdampar Dengan Perut Berisi Sampah Plastik

Bangkai seekor ikan paus bunting ditemui terdampar berdekatan dengan pantai di Itali baru-baru ini. Apa yang menyedihkan apabila bedah siasat ke atas haiwan berkenaan menemui sampah plastik seberat 49 pound (22 kg) di dalam perutnya.

Menurut laporan portal berita antarabangsa, paus berkenaan ditemui di pantai kawasan peranginan persendirian oleh penjaga sebuah resort di Cala Romantica, Porto Cervo. Perkara berkenaan turut mendapat perhatian daripada Menteri Alam Sekitar Itali.

”Bangkai paus sperma ini ditemui terdampar di pantai berhampiran Porto Cervo. Di dalam perutnya kami temui fetus dan sampah plastik seberat 22 kg. 

”Ada sesiapa di sini yang mahu mengatakan bahawa ini bukan satu masalah? Pada saya, ini adalah satu masalah dan perlu menjadi keutamaan kepada semua pihak,” kata menteri tersebut.

Bangkai paus berkenaan diuruskan oleh SEAME Sardinia, sebuah badan bukan kerajaan yang dianggotai oleh aktivis alam sekitar dan biologist yang mempunyai misi untuk memelihara ekosistem di kawasan Lautan Mediteranien.

Menurut badan berkenaan, antara sampah yang ditemui dalam perut ikan paus tersebut adalah beg plastik, jaring, plastik bekas cecair pencuci, tiub dan beberapa objek lain yang tidak dapat dikenal pasti.

Penemuan bangkai ikan paus berisi sampah di Itali ini tidak lama selepas media melaporkan insiden penemuan yang sama yang berlaku di Filipina bulan lepas.

Manakala video dibawah menunjukkan keadaan bangkai ikan paus yang berisi sampah yang ditemui di Filipina.

 

Sumber: Huffpost

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.