Siakap Keli

(Video)Unik, Pemuda Ini Hasilkan Straw Minuman Daripada Rumput Liar Untuk Atasi Masalah Sampah Plastik

Ketika dunia semakin terancam dengan sampah plastik, rata-rata penduduknya menyedari apa yang sedang berlaku dan berusaha mencari alternatif bagi menggantikan penggunaan plastik termasuklah straw minuman.

Baru-baru ini, seorang pemuda daripada Vietnam melancarkan produk straw minuman mesra alam yang diperbuat daripada rumput liar dan perkara tersebut pantas menjadi tular dalam kalangan wargamaya.

Tran Minh Tien merupakan pemilik kepada Ống Hút Cỏ, syarikat yang mengeluarkan dua jenis produk daripada sedge grass, rumput yang tumbuh di sepanjang Delta Mekong. Menurut Tien, sedge grass mempunyai bentuk menyerupai straw konvensional dengan stem berlubang di tengah yang membentuk laluan untuk air disedut secara semula jadi.

Bagi memastikan straw berkenaan bersih dan selamat, proses penghasilannya turut dikongsikan oleh Tien bagi meyakinkan orang ramai. Rumput berkenaan terlebih dahulu dituai, diperiksa dan dibersihkan sebelum dipotong mengikut saiz straw plastik. Manakala bahagian dalamnya pula dibersihkan dengan menggunakan rod besi sebelum dibersihkan sekali lagi.

Straw berkenaan kemudian diikat menggunakan daun pisang dengan setiap ikatan mempunyai sebanyak 100 batang straw. Menurut Tieon, straw berkenaan mampu  bertahan selama 2 minggu sekiranya disimpan di dalam peti sejuk.

https://www.instagram.com/p/Bv28lzqnqtR/

Sekiranya anda sebagai pembeli mahu memastikan straw rumput tersebut mampu bertahan untuk tempoh lebih lama, Tien menyarankan anda merendam straw tersebut di dalam air panas yang dicampur garam, kemudian mengeringkannya sebelum disimpan dalan stor kering.

Kata Tien lagi, straw rumput tersebut selamat untuk dimakan dan boleh digunakan sebagai alat mencukil makanan melekat pada gigi. Selain itu katanya, straw rumput bebas daripada bahan kimia dan mudah terurai serta lebih murah daripada straw biasa.

 

Sumber: Green Matter

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.