Siakap Keli

Polis Lancar Operasi Gerakan Besar-Besaran Cari Acap Sabtu Ini

Kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 yang hilang sejak 23 Mac lalu menimbulkan spekulasi dan teka-teki ramai sehingga kini.

Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mengesan mangsa dari pelbagai sudut tetapi semuanya menemui jalan buntu. Pelbagai konklusi terbaru timbul termasuklah beberapa kenyataan bahawa Acap sudah tidak berada lagi di Gopeng. Mangsa didakwa kini berada dalam keadaan selamat di Johor.

Namun, kenyataan itu kemudiannya ditepis oleh pihak polis yang mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau maklumat mengenai perkara berkenaan.

Susulan itu, Polis Perak akan melancarkan gerakan secara besar-besaran sabtu ini dengan kekuatan 160 anggota termasuk pegawai bagi mencari Acap di lokasi kejadian.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, gerakan secara besar-besaran itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman dalam usaha untuk membantu mengesan kehilangan mangsa.

Malah, beliau berkata pencarian Mohammad Ashraf juga akan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut beliau, pencarian akan dilakukan di kawasan tiga kilometer dari garisan penamat kerana pihak polis percaya kemungkinan mangsa hilang dalam kawasan sebelum ke garisan penamat.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.