Siakap Keli
Gambar : BERNAMA

Rosmah Mansor Didakwa Lagi, Terima Rasuah RM5 Juta

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan baharu menerima rasuah RM5 juta daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd, sebagai upah mendapatkan projek sistem solar, tiga tahun lalu.

Ia merupakan pendakwaan kali ketiga terhadap Rosmah, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Rosmah, 68, yang memakai baju kurung dan selendang sedondon berwarna hijau, mengaku tidak bersalah dan berkata “minta bicara,” selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan baharu itu menjadikan keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Rosmah kini berjumlah 20 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, tiba pada 8.40 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta ditemani anak lelakinya Mohd Ashman Mohd Najib serta penjamin dan pegawainya. Beliau turut tersenyum ke arah pihak media yang merakam gambarnya.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta, daripada seorang individu, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek yang dikenali sebagai “Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Gambar : BERNAMA

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius serta pertuduhan memperuntukkan hukuman yang tinggi selain Rosmah ketika kejadian itu merupakan isteri kepada seorang perdana menteri.

Mohd Dusuki juga berhujah walaupun pertuduhan baharu itu berkaitan dengan dua pertuduhan terdahulu Rosmah berhubung projek solar dan akan memohon untuk dibicarakan bersama namun jaminan berasingan perlu diberikan bagi mengelakkan kesulitan sekiranya ketiga-ketiga kes itu tidak dapat dibicarakan bersama.

Beliau juga memaklumkan akan membuat permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan dibicarakan bersama dengan dua kes Rosmah berhubung projek solar.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mengetuai pasukan pembelaan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan terdahulu iaitu RM1 juta yang dikenakan ke atas Rosmah dalam dua pertuduhan sebelum ini.

“Jumlah (tawaran jaminan) RM1 juta adalah tinggi, tertuduh telah dituduh sebelum ini, beliau adalah seorang suri rumah sepenuh masa, tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sebelum ini dan telah dituduh atas dua pertuduhan berkaitan, kes ini juga difahamkan akan dipohon untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan didengar bersama dua kes terdahulu,” kata Akberdin.

Azura membenarkan Rosmah diikat jamin mengguna pakai jaminan terdahulu dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber : BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di