Siakap Keli
Gambar: The Christian Broadcasting Network

9 Undang-Undang ‘Pelik’ Boleh Sebabkan Anda Dipenjarakan Semasa Melancong Di Luar Negara

Percutian  adalah sesuatu yang diperlukan semua orang kerana ianya merupakan salah satu terapi minda yang dapat menghilangkan tekanan, memberi kepuasan, mengeratkan silaturrahim dan banyak lagi nilai-nilai positif yang boleh diperolehi ketika bercuti.

Jika bercakap tentang bercuti pasti ramai diantara kita yang gemar melancong malah ada yang menjadikannya sebagai hobi. Siapa saja yang tak suka bercuti bukan? Ada diantara kita yang gemar untuk bercuti ke luar negara dan ada pula yang hanya memilih untuk bercuti didalam negara.

Jika anda memilih untuk bercuti di luar negara, pastinya segala undang-undang yang termaktub di sesebuah negara itu perlu diikuti tanpa mengira status anda sebagai pelancong.

Bagi anda yang gemar bercuti ke luar negara, anda perlu tahu tentang 10 undang-undang yang agak pelik ini bagi mengelakkan segala perancangan anda berjalan dengan lancar. Ada antara undang-undang yang agak pelik ini mempunyai hukuman yang agak berat walaupun kesalahan yang anda lakukan hanyalah perkara remeh sahaja.

Dalam satu kes yang menjadi hangat baru-baru ini terjadi kepada seorang wanita warga British yang terpaksa berdepan dengan hukuman penjara di Dubai selepas dia didapati melakukan kesalahan di bawah akta jenayah siber kerana telah memuat naik dua ulasan di Facebook tentang isteri bekas suaminya pada 2016 dimana dia mengaitkan isteri kepada bekas suaminya itu sebagai “kuda”.

Wanita yang berumur 55 tahun itu telah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Dubai semasa dalam perjalanan untuk menghadiri majlis pengkebumian bekas lelakinya itu.

Jika dilihat, ianya nampak seperti hanyalah perkara remeh bukan? Namun jika sudah termaktub didalam undang-undang sesebuah negara itu, ianya perlulah dituruti tidak kira apa pun status anda.

Jadi, sebelum anda bercadang untuk bercuti ke luar negara dalam masa yang terdekat ini, anda dinasihati untuk mengetahui terlebih dahulu tentang undang-undang sesebuah negara itu yang perlu anda patuhi semasa anda menikmati percutian anda bagi mengelakkan daripada mood percutian anda terjejas.

Berikut adalah antara undang-undang yang perlu anda ketahui sebelum anda bercadang untuk melancong ke luar negara:

Jangan Pijak Duit Semasa Berada Di Thailand

Gambar: 123RF

Ianya menjadi satu kesalahan jika anda menghina apa-apa sahaja yang merujuk kepada keluarga diraja Thailand serta tidak menghormati gambar yang berkaitan dengan kerabat negara gajah putih itu. Ini kerana, satu undang-undang yang agak ketat dikenali sebagai lese-majeste digunakan di Thailand sejak dari tahun 1908 yang melarang sesiapa sahaja untuk tidak mempersoalkan, mengutuk mahupun tidak menghormati tentang apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kerabat diraja Thailand.

Memandangkan wajah Raja Thailand diguna pakai di atas wang Baht negara tersebut, anda boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati memijak wang yang mempunyai wajah Raja negara gajah putih itu.

Jangan beli, guna, menjual, mahupun mengiklankan apa-apa tentang “baby walkers” di Kanada

Gambar: Child Protection Network

Penggunaan baby walker di Kanada adalah dilarang kerana kerajaan negara itu telah mentakrifkan penggunaan alat sokongan kegunaan bayi itu sebagai tidak selamat.

Menurut Huffpost, undang-undang yang dikuatkuasakan pada tahun 2004 itu diusul oleh Kementerian Kesihatan Kanada. Undang-undang itu bertujuan untuk mengurangkan kes-kes kecederaan yang dihadapi oleh bayi semasa menggunakan peralatan tersebut.

Data yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Kanada berkenaan kes kecederaan bayi dalam menggunakan peralatan itu mencatatkan seramai 1,900 bayi yang berusia 5 sehingga 14 bulan mengalami kecederaan semasa menggunakan alat itu. Antara kecederaan yang dicatatkan di dalam kes-kes yang direkodkan antaranya ialah jatuh tangga, capai objek yang berbahaya seperti cecair beracun yang digunakan untuk membersihkan rumah serta mencapai air panas dimana ianya boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada bayi.

Jika anda didapati menggunakan atau menjual alat tersebut, anda boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sebanyak $100,000 (CAD) yang bersamaan dengan RM 307,354.63.

Pakaian renang tidak boleh dipakai di tempat lain selain di pantai Barcelona 

Gambar: eurocheapo.com

Di Barcelona, anda dilarang untuk memakai pakaian renang di tempat-tempat lain selain di pantainya sahaja.

Undang-undang yang mula dilaksanakan pada 2011 itu dikuatkuasakan kerana ramai penduduk tempatan dan peniaga-peniaga di sekitar bandar tersebut melancarkan kempen yang mendesak pihak kerajaan supaya menguatkuasakan undang-undang tersebut.

“Penduduk tempatan disini merasa terganggu apabila para pelancong hanya mengenakan pakaian renang untuk berjalan di pusat bandar, kami perlu menjaga reputasi bandar ini” kata Assumpta Escarp, seorang Ahli Majlis Perbandaran Barcelona yang turut sama mengambil bahagian dalam kempen yang dilancarkan penduduk Barcelona itu.

Jika anda didapati memakai pakaian renang didalam restoran atau mana-mana sahaja di jalanan mahupun di tengah-tengah bandar Barcelona, anda boleh didenda sebanyak £100 (RM 535.00)

Dilarang membuang air kecil di laut Portugal

Gambar: The Daily Meal

Portugal mempunyai satu undang-undang yang agak pelik dimana ia melarang sesiapa sahaja untuk tidak membuang air kecil ketika mandi di mana-mana pantai yang berada di Portugal.

Walaupun ia kedengaran seperti tidak masuk akal, namun ia sebenarnya perkara yang seharusnya sudah diketahui oleh semua orang. Bagaimana cara ia dikuatkuasakan tidak dapat dipastikan, namun sebagai seorang manusia yang bertamadun kita semua pasti sudah di didik dengan baik supaya tidak membuang air kecil mahupun besar di merata-rata tempat selain di tandas.

Bagi mengelakkan diri anda daripada didenda oleh pihak berkuasa Portugal, anda dinasihati supaya menahan rasa ingin membuang itu atau pun terus sahaja mencari tandas yang berdekatan dengan anda.

Dilarang mengunyah dan membuang gula-gula getah di Thailand dan Singapura

Gambar: BBC

Sama seperti undang-undang yang tidak membolehkan anda memijak duit di negara Thailand, negara gajah putih itu juga mempunyai satu lagi undang-undang yang kelihatan remeh namun ianya boleh mendatangkan masalah kepada anda jika anda didapati bersalah melakukannya.

Thailand turut menegaskan tentang perbuatan membuang gula-gula getah di kaki lima. Jika anda didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut, anda boleh didenda sebanyak  RM 2140.00 serta boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya mendapati anda tidak membayar denda tersebut.

Selain Thailand, Singapura juga turut melaksanakan undang-undang yang sama. Untuk pengetahuan anda, Singapura telah mengharamkan penggunaan gula-gula getah sejak dari tahun 1992 lagi.

Pihak kerajaan Singapura merasakan bahawa servis penyelenggaraan serta pembersihan dalam membersihkan sisa gula-gula getah yang tidak dibuang dengan cara yang sepatutnya adalah sesuatu yang membazir.

Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan kebersihan bandarnya, Singapura melaksanakan undang-undang tersebut bagi mengekalkan kebersihan serta kesejahteraan negara itu seterusnya dapat mendidik rakyatnya supaya menjadi lebih bertanggungjawab.

Rusia, Belarus dan Kazakhstan melarang pemakaian pakaian dalam yang menggunakan kain renda

Gambar: Business

Elakkan memakai pakaian dalam yang menggunakan kain renda jika anda bercadang untuk melancong ke negara-negara ini.

Menurut undang-undang yang telah ditetapkan pada tahun 2013 di negara ini, semua pakaian dalam yang terdapat di Rusia, Belarus serta Kazakhstan diwajibkan sekurang-kurangnya mengandungi kain kapas sebanyak 6%.

Menurut PRI, parlimen negara rusia mengharamkan pemakaian pakaian dalam yang diperbuat daripada bahan sintetik. Menurut ahli parlimen negara itu, pakaian yang diperbuat daripada bahan sintetik boleh mendatangkan alahan sekaligus menjejaskan kesihatan. Sehubungan dengan itu, negara itu telah menghentikan pengimportan, pembuatan serta penjualan kain yang mempunyai bahan sintetik itu pada tahun 2014,

Pengharaman itu turut termaktub di bawah negara yang didominasi oleh Rusia seperti Belarus dan Kazakhstan.

Dilarang memakai kasut tumit tinggi di kawasan bersejarah di Greece

Gambar: Story Crux

Di Greece, jika anda berniat untuk memakai kasut tumit tinggi ketika menuju ke Acropolis, anda dinasihati supaya melupakan niat tersebut kerana perkara itu adalah dilarang.

Ini kerana, semenjak daripada tahun 2009 lagi larangan mengenakan kasut tumit tinggi ketika berada di tapak bersejarah di Greece telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.

Ianya bertujuan untuk melindungi seni bina bersejarah yang terdapat di situ. Pemakaian kasut tumit tinggi dikatakan akan menyebabkan tekanan ke atas tanah yang mempunyai banyak nilai sejarah itu seterusnya boleh menjejaskan khazanah negara itu.

Dilarang Bercumbu di stesen keretapi di Perancis

Gambar: Pinterest

Undang-undang yang diwujudkan semenjak dari tahun 1910 ini menghalang orang ramai daripada bercumbu ketika berada di kawasan stesen keretapi. Sebagai negara yang mempunyai bandar yang diberi jolokan sebagai kota cinta bandar yang turut dikenali sebagai kota cinta, pastinya aksi bercumbu di antara pasangan kekasih sudah menjadi tidak asing lagi.

Undang-undang yang telah lama diperkenalkan itu bertujuan untuk mengelakkan keretapi daripada mengalami kelewatan masa perjalanan serta kesesakan di platform. Jika didapati bersalah, anda boleh dikenakan saman oleh pihak berkuasa.

Kehabisan minyak kereta di lebuhraya Jerman adalah suatu kesalahan

Gambar: Carbuyer

Memandu tanpa perlu patuhi had kelajuan pastinya diimpikan oleh pemandu-pemandu yang sukakan kelajuan. Ianya bukanlah suatu cerita yang digembar-gemburkan kerana lebuh raya yang terdapat di Jerman tidak mempunyai undang-undang yang melarang pengguna jalan raya supaya memandu di bawah kelajuan yang telah ditetapkan.

Anda boleh memandu selaju mana yang anda impikan kerana tidak menjadi kesalahan untuk anda berbuat demikian. Namun begitu, jika anda memandu dengan paras minyak yang begitu rendah, anda dinasihati supaya mengisi minyak kereta anda terlebih dahulu.

Ini kerana, jikalau kereta anda didapati kehabisan minyak ketika anda sedang memandu di lebuhraya, anda boleh dikenakan tindakan kerana ianya salah disisi undang-undang negara itu. Disebabkan lebuhraya yang tidak mempunyai had kelajuan maksima, ianya berisiko buat pemandu yang memandu dengan laju untuk terlibat dengan kemalangan.

Undang-undang itu digubal bagi tujuan untuk mengelakkan kemalangan kerana lebuh raya yang tiada had laju maksima itu berisiko untuk pengguna jalan raya yang tidak sempat untuk mengelak kereta yang tersadai di tengah jalan seterusnya akan menyebabkan kemalangan.

Sumber: Mirror, Jabatan Mufti Negeri Pahang, Huffpost, PRI

Aqmal Ezany

I write what is right