Siakap Keli

Imigresen Malaysia Tahan Lima Lelaki Indonesia Tawar Perkhidmatan Seks Sejenis

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket warga asing menawarkan khidmat seks kepada kaum sejenis selepas menahan lima lelaki homoseksual dari Indonesia dalam serbuan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Kelima-lima lelaki yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai masuk ke negara ini untuk menawarkan khidmat seks menerusi laman web khas atau aplikasi khas, kata Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Pulau Pinang Kholijah Mohamad hari ini (9 Apr).

Katanya kejayaan membongkar taktik sindiket yang menawarkan kegiatan itu adalah hasil intipan dan risikan sejak dua minggu lepas sebelum serbuan di bawah operasi Op Tegar dibuat malam tadi yang turut melibatkan rampasan wang tunai RM3,500, pasport, kondom dan gel untuk golongan lelaki.

“Kami mendapati kelima-lima lelaki warga asing yang ditahan ini masuk ke negara ini secara sah dan tinggal untuk tempoh antara satu dan dua minggu bagi memenuhi tempahan yang mereka terima sebelum pulang ke Indonesia dan kembali lagi apabila menerima tempahan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya pemeriksaan ke atas aplikasi yang digunakan turut menunjukkan pelanggan pendatang-pendatang ini berumur antara 25 dan 40 tahun yang dikenakan bayaran antara RM150 dengan RM250 sejam untuk perkhidmatan seks yang ditawarkan.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 kerana menyalahgunakan pas lawatan,” katanya.

Peraturan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia