Siakap Keli

Ingatkan Masuk Habuk, Wanita Tak Sangka Rupa-Rupanya Ada Lebah Kecil ‘Bersarang’ Dalam Matanya

Doktor yang merawat masalah mata seorang wanita mendapati ada 4 ekor lebah kecil hidup di dalam matanya, dalam kejadian yang berlaku di Taiwan.

Menurut wanita berkenaan yang dikenali sebagai Puan He, dia menyedari matanya dihampiri oleh lebah ketika mencabut rumput di kawasan perkuburan saudaranya.

Dr Hong Chi Ting yang merawat wanita tersebut berkata, dia terkejut ketika melihat saiz lebah tersebut yang sebesar 4mm tersebut.

Lebah kecil atau Halictidae tertarik kepada cecair masin dan kadang-kala suka hinggap pada manusia yang berpeluh. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa lebah kecil tertarik kepada air mata manusia bagi mendapatkan nutrisi yang ada pada cecair tersebut.

Kata Puan He lagi, pada awalnya dia menyangka hanya kotoran biasa yang memasuki bahagian matanya. Bagaimanapun beberapa jam kemudian, matanya mula merasa sakit dan membengkak.

Dia kemudian mengunjungi sebuah hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan mata.

”Dia tidak boleh menutup mata sepenuhnya. Dengan bantuan mikroskop kemudian saya memeriksa matanya sebelum mendapati kewujudan benda hitam menyerupai kaki serangga.

”Saya menarik kaki serangga itu secara berhati-hati dan kemudian perasan ada lagi yang lain. Empat ekor semuanya. Semua lebah kecil itu masih hidup,” kata Dr Hong.

Ujarnya lagi, lebah berkenaan mungkin ditiup angin ketika menghampiri mata Puan He sehingga terperangkap pada bahagian tersebut.

Lebah-lebah ini selalunya tidak menyerang manusia bagaimanapun mudah tertarik kepada peluh yang keluar daripada tubuh manusia.

Dr Hong juga berkata Puan He bernasib baik kerana memilih untuk tidak menggosok bahagian matanya yang sakit.

”Dia memakai kanta lekap jadi dia tak menggosok matanya kerana bimbang kanta lekap tersebut rosak. Jika tidak, lebah-lebah itu mungkin melepaskan bisa dan boleh menyebabkan matanya menjadi buta,” katanya.

Lebah-lebah itu kemudian dihantar ke sebuah pusat penyelidikan untuk dikaji memandangkan ia adalah kejadian pertama yang pernah berlaku di Taiwan.

Sumber: BBC 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.