Siakap Keli

Potongan 50 Peratus Yuran Pendaftaran Hibah Amanah Dan Pengisytiharan Amanah Buat Pelabur ASNB

Pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad adalah antara pelaburan yang boleh disertai oleh rakyat Malaysia.

Setiap tahun keuntungan yang diumumkan oleh ASNB pasti membuatkan semua pelabur tersenyum riang. Kali ini, ASNB menawarkan kepada para pelaburnya potongan sebanyak 50 peratus untuk yuran pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

Potongan ini hanya ditawarkan bermula 15 Mac ini hingga 15 Mei depan. Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca perkongsian yang dibuat oleh ASNB dibawah.

POTONGAN 50 PERATUS UNTUK YURAN PENDAFTARAN HIBAH AMANAH & PENGISYTIHARAN AMANAH DARI 15 MAC- 15 MEI 2019.

Pelabur ASNB hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM90 untuk satu kontrak Hibah Amanah (pelabur Islam) atau Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam), berbanding harga biasa RM180.

Mengapa perlu mendaftar dengan Hibah Amanah / Pengisytiharan Amanah?

Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah membantu memudahkan proses tuntutan harta berbentuk unit amanah ASNB oleh penerima selepas pelabur meninggal dunia.

Apakah kelebihannya?

1. Pelabur 

a) Menamakan penerima untuk semua pelaburan mereka dalam unit amanah ASNB dalam satu kontrak

b) Menamakan sehingga 10 penerima dalam satu kontrak

c) Menamakan sesiapa sahaja yang difikirkan layak sebagai penerima termasuk anak angkat kerana penerima tidak terhad kepada waris sahaja.

2. Penerima

a) Proses tuntutan yang mudah dan pantas iaitu kira-kira 21 hari selepas tuntutan diterima oleh ASNB

b) Tidak perlu menunggu sehingga proses tuntutan harta yang lain selesai kerana unit amanah ASNB yang sudah dihibahkan bukan lagi harta pusaka.

Apa beza antara Hibah Amanah dengan Penama?

Penama merupakan wasi atau pentadbir yang perlu menguruskan harta yang ditinggalkan mengikut Faraid, manakala menerusi Hibah Amanah/Pengisytiharan Amanah, penerima merupakan penerima mutlak untuk pelaburan yang ditinggalkan.

Bagaimana jika pelabur meninggalkan wasiat?

Tanpa Hibah Amanah, proses tuntutan oleh waris pelabur Islam adalah tertakluk kepada undang-undang probet dan pentadbiran. Ketetapan mendapatkan probet tetap berkuatkuasa walaupun pelabur ada meninggalkan wasiat.

Bagaimana mendaftar?

Untuk mendaftar Hibah Amanah / Pengisytiharan Amanah, pelabur boleh boleh datang ke mana-mana 32 Pejabat Cawangan ASNB di seluruh negara.

Untuk memudahkan pelabur, semua Cawangan ASNB kini dibuka pada Sabtu ke-3 setiap bulan (dari jam 8.15 pagi -1.00 tengah hari), yang mana sepanjang tempoh kempen ini, ia jatuh pada 20 April 2019.

Tanpa Hibah Amanah/Pengisytiharan Amanah, waris berdepan proses tuntutan harta pusaka yang biasanya agak rumit dan mengambil masa yang agak panjang, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman antara waris. Keadaan ini seringkali menyukarkan waris, terutamanya waris yang memerlukan wang untuk kelangsungan hidup.

Jadi daftarlah untuk Hibah Amanah / Pengisytiharan Amanah dan jadikan harta yang anda tinggalkan sebagai hadiah paling berharga untuk yang tersayang, bukannya punca sengketa antara mereka.

Potongan 50% Yuran Pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah untuk pelabur ASNB.

Pelabur ASNB bolehla ambil kesempatan ini untuk menamakan penerima bagi pelaburan dalam unit amanah dalam ASNB.

Kalau dah daftar, mudahlah waris nak membuat tuntutan selepas anda tiada.

Untuk warga utara, kalau nak tahu lebih lagi mengenai Hibah Amanah ni, kunjungilah booth ASNB di Minggu Saham Amanah Malaysia 2019 (MSAM 2019) yang akan berlangsung dari 19-25 April ini di Perkarangan Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah.

Untuk maklumat lanjut, sila klik:

i. Hibah Amanah

www.asnb.com.my/HIBAHAMANAH_Web_promofb.html

ii. Pengisytiharan Amanah

www.asnb.com.my/PENGISYTIHARANAMANAH_Web_promofb.html

*Untuk semua produk unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5.

#ASNBpilihanpelaburbijak

Sumber: Amanah Saham Nasional Berhad

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.