Siakap Keli

(Video) Biarpun Tiada Kaki, Veteran Tentera Ini Penuhi 19 Tahun Kehidupan Hariannya Dengan Tanam 17,000 Batang Pokok

Seorang veteran tentera yang kudung kedua-dua belah kakinya telah menghabiskan masa selama 19 tahun menanam pokok dan menukar lereng gunung menjadi hutan kecil di China.

Setiap hari, Ma Sanxiao, 70, meluangkan kebanyakkan masanya untuk menanam pokok dan setakat ini telah pun menanam lebih 17 ribu batang pokok.

Satu ketika, dia melakukan ini semuanya bagi menyara kehidupan namun kini dia beranggapan tugas tersebut sebagai caranya membalas budi masyarakat.

Menurut China News, Ma akan keluar daripada rumahnya pada pukul 5 pagi dan menuju ke kawasan pergunungan dengan menggunakan tuk tuk. Setibanya di sana, dia akan menanggalkan kaki palsu yang dipakainya sebelum mula menggali lubang untuk menanam pokok.

Ma dilaporkan mempunyai masalah berkaitan darah pada tahun 1974 dan keadaan itu bertambah buruk selepas dia menamatkan perkhidmatan dalam tentera.

Pada 1985, kaki kirinya terpaksa dipotong sebelum sebelah lagi menerima nasib yang sama pada 2005.

Menurut Ma, kerja-kerja menanam pokok bukanlah satu tugas yang mudah dan dirinya pernah beberapa kali cedera apabila terjatuh dalam lubang yang digalinya sendiri.

Bahagian kakinya yang dipotong pernah tercedera teruk dan kini diletakkan kepingan logam sebagai perlindungan. Dalam insiden berasingan, jarinya pernah luka dan mendapat jangkitan kuman. Kesannya, jari itu terpaksa dipotong bagi mengelakkan ia memudaratkan kesihatan di masa depan.

Bagaimanapun Ma menganggap dirinya adalah seorang pejuang dan dia tidak mahu ‘terbaring atas katil menunggu bantuan orang’.

”Bagi saya, ia bukan sekadar pokok. Saya menganggapnya sebagai askar-askar yang saya pimpin. Mereka membuatkan hidup saya lebih bermakna.

”Selagi saya bernyawa, saya akan terus menanam pokok untuk kebaikkan generasi masa depan,” kata Ma.

Kisah Ma kemudian mendapat perhatian daripada Kerajaan China yang menghantar bantuan selain sukarelawan turut turun membantu Ma menanam pokok-pokok tersebut.

Ketika ini, Ma menanam pokok untuk ‘membalas budi masyarakat dan sebagai ucapan terima kasih kepada bantuan kerajaan’.

 

Sumber: Mirror UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.