Siakap Keli
Gambar : BERNAMA

Dua Remaja Perempuan Hilang Di Petaling Jaya ditemui Selamat, Polis Sahkan Kes Lari Dari Rumah

Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas meraikan Tahun Baharu Tamil di sebuah kondominium di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya dekat sini, semalam telah ditemui, dan polis mengesahkan ia adalah kes remaja melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata Natshatra Navinata,15, dan Divyaa Munian, 16, ditemui di stesen KTM Komuter Batu 3 pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Katanya mereka kemudiannya dibawa ke rumah ibu saudara di Sungai Buloh sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pukul 7.30 petang ini untuk rakaman percakapan, dan kedua-dua mereka akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan kesihatan.

“Punca (kejadian) melarikan diri dari rumah kerana tidak puas hati dengan ibu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salah seorang daripada remaja itu dipercayai telah mengikut rakannya yang tidak mahu pulang ke rumah, sebelum kedua-duanya ditemui oleh ibu saudara salah seorang daripada mereka di Shah Alam.

Sementara itu ibu Natshatra, Sheila Manikam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anaknya dan Divyaa.

“Mereka ditemui selama, terima kasih kepada semua,” katanya.

Media hari ini melaporkan Natshatra dan Divyaa hilang sejak malam Ahad selepas Divyaa dikatakan menempah Grab untuk pulang ke rumahnya dan Natshatra menemankannya hingga ke lobi kondominiumnya di Jalan Gasing Indah. Sebelum itu, kedua-dua mereka telah ke sebuah kuil berdekatan untuk meraikan Tahun Baharu Tamil.

Tempahan Grab itu dibatalkan dan kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah, menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis dan meminta bantuan orang ramai melalui media sosial untuk mengesan kedua-dua mereka.

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.