Siakap Keli
Gambar Hiasan

”Nak Mati, Matilah Dalam Keadaan Ada Keluarga,” Menyesal, Lelaki Ini Diuji Sakit Tenat Setelah Ceraikan Isterinya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setelah berkahwin, setiap pasangan pastinya mendambakan hubungan yang dibina untuk kekal hingga ke akhir hayat. Namun seringkali ujian yang datang menggoyahkan bahtera perkahwinan dan kesetiaan antara pasangan. Jika cukup kuat, semua itu mampu ditepis. Jika lemah, perpisahan selalu menjadi kata akhir.

Seperti perkongsian oleh Khairul Hakimin Muhammad yang ternyata menyentuh hati ramai. Berkongsi kisah mengenai rakan baiknya yang diuji setelah bercerai membuatkan ramai yang membuka mata akan ujian Allah yang datang dalam pelbagai cara. Ikuti coretannya seperti di bawah.

”Sungguh kau nak bercerai?”

Shah hanya diam sahaja. Itu sudah kali ke-4 kami bertemu dan beliau duk bercakap benda yang sama. Anak ada 3 orang. Paling kecil berusia 5 bulan. Dan setiap kali kami berjumpa, itulah soalan saya.

Beliau antara yang selalu bercakap tentang hal isteri yang begitu begini, dan kami yang melepak bersama, akan lawan habis-habisan. Kebanyakkannya adalah perkara yang kecil-kecil sahaja.

Iya dia orang bisnes, nak itu nak ini, namun isteri juga bekerja, jadi tak boleh nak demand banyak hal. Terbaru, hanya kerana isterinya kerap outstation, dan beliau yang kena menguruskan anak-anak, bergaduh. Kecoh sana sini. Beliau pun duduk di hotel tinggalkan anak-anak di rumah emaknya sendiri. Pernah, emaknya juga menelefon saya tanya di mana anaknya. Ah sudah.

Saya dan kawan-kawan pernah beritahu dia, kalau dia ceraikan isterinya, dia rugi besar kerana dari apa yang kami pandang, isterinya amat banyak membantu beliau naik dan menjadi orang hebat seperti hari ini.

Sekitar beberapa minggu selepas itu, jatuh juga talaknya. Dan beliau jadi bujang semula. Facebook, Instagram semuanya berubah. Tak ada lagi gambar anak dan isteri. Paling sedih, dengan kami pun mula renggang. Orang jaga badan, dia jaga badan, konon nak nampak begitu begini di media sosial.

Tup tup, masuk hospital. Terus kami dapat mesej untuk menziarahinya. Kami kawan-kawan yang semakin dilupakan ini, pergi tengok juga. Agak terkejut apabila melihat dia perlu memakai bantuan oksigen, siap ada wayar bagai. Apabila tanya doktor kata begitu begini.

Dan bermulalah drama yang mengubah hidupnya. Bekas isteri yang duk jaga. Ya Rabb. Kami duk tanya keluarganya, rupanya isterinya tak pernah buang keluarga walau dah bercerai. Masih datang ke rumah mentua dan jadi anak yang baik macam biasa. Mentua pun baik melayan dan anggap itu sebagai anak mereka.

Ex-wifenya datang setiap pagi. Bawa baju yang siap basuh, kemas barang, bawa sarapan. Tengah hari datang bawa makanan, petang datang lagi hantar itu ini begitu begini. Tak bersentuh, ada masa tak bercakap langsung.

Kata isterinya, semasa berkahwin, dia selalu dituduh tak buat banyak kerja dalam rumah, jadi dia nak tebus semua itu. Dia sangat sayangkan suaminya, namun suami yang sibuk nak cerai, dia terpaksa telan.

Kawan kami ini semakin teruk sakitnya. Perlu buat pembedahan dan lama tidak dapat hidup macam orang biasa. Makan berbulan. Keluarganya pun susah nak menjaga, lalu ex-wife berhenti kerja semata nak jaga si ex-suami ini. Kami duk baca sahaja dalam group Whatapp penyesalan demi penyesalan yang dia tulis.

Saya tak tahan, saya print screen kasi ke wife dia. Mesej di inbox messengger. Kahkahkah. Lalu isterinya minta saya dan kawan-kawan tanyakan kepada dia, nak tak kalau kahwin semula. Kami pun terus sahaja tanya, dan dia setuju.

Maka, selepas pembedahan, berkahwinlah semula pasangan ini. Dan yang paling gembira ialah anak-anak. Nampak jelas betul anak mereka duk berpelukan beriya. Alhamdulillah alhamdulillah.

Semalam masa nak gerak ke Kuala Perlis, kawan kami ini duk tulis dalam group whatsapp,

”Hargai isteri masing-masing. Kena ingat, isteri ini Allah yang kasi. Kalau dia tak curang, dia tak buat benda tak baik, maka janganlah sentiasa nak cari pasal. Dia perempuan, kita orang lelaki patut lebih matang, lebih relaks, lebih sabar dari mereka. Kalau kita sama naik apabila dia marah, dia merajuk, kita rugi.”

Kami pun membahan ke dia semula. Biasalah kawan-kawan lelaki. Kemain sekarang nasihat. Zaman dulu lupa dia tulis apa. Kikiki.

Kawan kami ini sudah masuk ke stage-4 kansernya. Isterinya sekarang sedang hamil anak ke-4. Dan beliau duk cakap ke kami ini banyak kali,

”Nak mati, matilah dalam keadaan sudah ada keluarga, sekurang-kurangnya ada orang nak uruskan kita nanti. Aku bertuah sebab Allah beri aku peluang baiki dan alhamdulillah, aku berusaha untuk dapatkan anak dan isteri aku memaafkan segala salah silap aku yang dulu.”

Kita hidup sekali sahaja, mana yang dapat sakit, akan dapat peluang baiki itu ini. Bayangkan kalau kita ini terus sahaja Allah rentap nyawa, dan kita tak dapat nak repair semuanya.

Pergilah kita dalam keadaan yang sangat teruk. Maka segala dosa pun tak terhapus lalu kita tergantung begitu sahaja. Isteri yang baik, hargai dia, rumah bersepah, anak berlari sana sini, itu bahagia sebenarnya. Yang itu kita tak payah tunjuk di media sosial. Bahagia kita tu, adalah hak peribadi kita, kita simpan dalam poket masing-masing, sebab di poket tersebutlah ada banyaknya berkat dan rezeki.”

Kami semua tak tahu nak balas apa mesej yang beliau duk kata. Sekadar dapat tulis, “semoga kau sihat semula, Shah.”

Saya mesej beliau malam ini. Bertanya khabar, katanya seperti dalam mesej tersebut. Dan saya hanya mampu menangis sendiri.

Ya Rabb,

Begitulah kawan-kawan. Hargai segalanya semasa ada. Semasa susah dan semasa senang. Itulah yang disusun untuk kita. Yang baik, yang indah, tetap ada kelemahan, dan semua itu kita hanya perlu lengkapkan sahaja. Bukan berlawan ego sampai nanti kita yang rugi.

Terima kasih Shah (bukan nama sebenar), jujurnya kami semua belajar dari kau. Terima kasih sangat.

Khairul Hakimin Muhammad,
Semoga baik-baik sahaja.

 

Sumber : Khairul Hakimin Muhammad

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.