Siakap Keli
Gambar: Stuff.co.nz

Bekas Presiden Peru Maut Tembak Diri Sendiri Selepas Cuba Ditahan Oleh Pihak Polis

Bekas Presiden Peru Alan Garcia maut selepas menembak dirinya sendiri ketika sepasukan polis cuba menahannya pada pagi rabu semalam.

Berita kematiannya itu telah disahkan oleh Presiden Peru terkini Martin Vizcarra yang turut terkejut akan berita itu dan telah menzahirkan salam takziah menerusi akaun twitter miliknya sendiri.

Garcia yang telah berkhidmat sebagai presiden Peru semenjak daripada tahun 1985 hingga 1990 dan juga daripada 2006 hingga 2011 sedang disiasat di atas dakwaan penggubahan wang haram dan skandal rasuah besar-besaran yang telah mengaitkan dirinya serta beberapa pemimpin Amerika Latin yang lain.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Carlos Morán, ketika pihak polis tiba untuk melakukan penahanan dirumahnya, Garcia telah menyatakan bahawa dia ingin pergi ke bilik tidurnya untuk menghubungi penguamnya terlebih dahulu.

Beberapa minit kemudian, satu bunyi tembakan yang datang daripada bilik tidurnya itu telah kedengaran. Pihak polis segera bergegas memasuki bilik tidurnya dan terus menemui Garcia yang sedang terbaring dengan kecederaan yang parah di kepala.

Menurut Menteri Kesihatan Peru, Silvia Pessah, bekas presiden yang berumur 69 tahun itu segera dikejarkan ke hospital oleh pihak polis berikutan dengan kejadian itu. Selepas kesemua prosedur kecemasan telah dilakukan oleh pihak doktor termasuklah tiga kali bantuan pernafasan yang diberikan ke atasnya, dia tidak berjaya diselamatkan.

“Beliau telah membuat keputusan untuk menembak dirinya sendiri.” Ujar peguamnya, Erasmo Reyna ketika ditemui di luar Hospital Casimiro Ulloa sebelum bekas presiden itu disahkan maut.

“Terkesan dengan berita tentang kematian bekas presiden Alan Garcia, saya ingin menzahirkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarganya serta kesemua yang terkesan dengan insiden ini.” Ujar Presiden Vizcarra dalam satu Tweet yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya.

Sumber: CNN

Aqmal Ezany

I write what is right