Siakap Keli
Gambar : Google

Gangguan Bekalan Air Sehingga 86 Jam Di 577 Kawasan Di KL & Selangor

Putrajaya : Gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera untuk mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

”Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Santiago berkata pihak Air Selangor akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terlibat.

“Antaranya adalah memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya.

Santiago berkata bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

“Air Selangor menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata pengguna adalah dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara itu dan disarankan menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di