Siakap Keli

“Saya Tidur Dalam Bilik Air, ‘Kawan’ Mak Cucuh Besi Panas,” Umur Baru 10 Tahun, Tapi Derita Ditanggungnya Sangat Tragis

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Guru umpama ibu bapa kedua kita ketika berada di sekolah. Selama berbelas tahun mereka membentuk minda dan membantu mengenali bakat dan matlamat kita. Mungkin ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa mengajar hanyalah profesion yang dilaksanakan semata-mata untuk memperolehi gaji. Namun tekaan itu ternyata salah kerana bagi guru, itu adalah ‘kehidupan’ mereka.

Guru sentiasa menjadi ‘pasukan sorak’ untuk memotivasikan para pelajar supaya mencapai segala impian dan memberi petunjuk serta jalan ke arah kejayaan. Malah, ada pelajar yang masih berhubung dengan guru mereka walaupun setelah berpuluh tahun meninggalkan zaman persekolahan. Jasa seorang guru semestinya akan terpatri dalam hati semua pelajarnya.

Selaras dengan peningkatan penggunaan media sosial, guru sudah mampu mendidik pelajar mahupun masyarakat melalui medium terbabit. Penyampai maklumat serta ilmu akan tersebar dengan lebih cepat. Seorang guru, Mohd Fadli Salleh telah berkongsi di laman Facebooknya tentang kisah seorang pelajarnya untuk dijadikan pengajaran kepada semua tentang pentingnya komunikasi di antara guru dan pelajar.

Hantaran itu tular serta mendapat lebih 20,000 likes serta 4,700 perkongsian dari pengguna laman terbabit. Status itu ternyata membuka mata masyarakat terutamanya pihak guru sendiri.

“Cikgu, saya tidur dalam bilik air hampir setiap malam. Kena basuh baju 5 orang guna tangan. Adik saya pula tidur kat luar atas simen,”

Kata Alia sambil tersenyum. Demi Tuhan aku tidak pernah sebak seperti hari ini. Dah banyak kes aku santuni, kes Alia paling meruntun hati. Perlahan dia selak kaki seluarnya dan kata,

“Cikgu. Ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas.”

“Sakit tak?”

Tiba-tiba terpancul soalan kurang cerdik dari aku. Dia tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Senyumannya manis sungguh. Senyuman paling manis aku pernah saksikan. Senyumannya itu merobek hatiku. Terasa dikoyak-koyak, terasa dicarik-carik hati ini.

Betapa dia menerima semua dugaan ini dengan senyuman dan ketabahan. 2 tahun bukan satu tempoh singkat. Didera ibu dan pasangannya sendiri (juga seorang wanita).

Hari ini, polis berjaya mengesan adik perempuannya yang berusia 10 tahun. Punya la neneknya lega bila adiknya dapat diselamatkan dan si wanita terbabit ditangkap polis. Wanita itulah yang banyak kali mencucuh Alia dan adiknya dengan besi panas.

Gambar Hiasan

Pernah merotan badan mereka bukan hanya di kaki, bahkan badan dan kepala. Ya, kepala pun pernah dirotan.

Entah apa dosa anak kecil yang comel ini. Si ibu masih bebas. Namun aku percaya tidak lama. Sehari dua lagi pasti akan ditangkap juga.

Kisahnya begini.

Ibu dan ayah Alia bercerai 2 tahun lepas. Hak penjagaan dapat kepada ayah Alia dan mereka tinggal di rumah neneknya.

Ramadan 2017, si ibu datang kata nak melawat Alia dan adiknya untuk berbuka puasa. Namun sebaik keluar rumah, bayang mereka tidak lagi kelihatan. Alia kini berusia 13 tahun. Adiknya pula 10 tahun. Badannya kurus keding dan kecil bagai budak darjah 5. Allahu, sedihnya tengok fizikal dia.

Alia ini murid bijak. Pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa tahun 4. Namun sejak dilarikan ibu kandung, dia dan adiknya tidak bersekolah. Adiknya pun murid yang pintar. Namun nasib mereka berdua dilarikan oleh ibu yang tidak bertanggungjawab. Tidak lagi bersekolah sejak itu.

Sumber: smh.com
Gambar Hiasan

Bahkan kad pengenalan Alia pun ibunya tidak buatkan meskipun usianya dah mencecah 13 tahun. Kejamnya.

Si wanita inilah (pasangan ibu) yang banyak mendera mereka. Ibu kerja direct selling sahaja. Menyewa bilik bersama pasangan, Alia serta adiknya. Bertahun hidup sengsara, sampai beberapa hari lepas, Alia berjaya meloloskan diri dan lari ke rumah neneknya. Terus neneknya bawa ke balai polis dan laporkan kes penderaan ini.

Alia dibawa ke hospital untuk diperiksa dan ternyata ada kesan dera yang berparut ditubuhnya. Serbuan polis semalam tidak berjaya menjumpai adiknya. Namun hari ini, adiknya pula dapat diselamatkan dan si wanita ini dapat ditangkap.

Tahniah Polis Di Raja Malaysia

Aku meluangkan masa lebih kurang 20 minit bersama neneknya dan Alia. Banyak cerita yang mereka kisahkan pada aku. Setiap cerita yang Alia bagitahu, semuanya dalam senyuman. Ah anak. Tabah sungguh hatimu.

Senyumanmu itu sangat-sangat memilukan. Kerana aku tahu kau menyorok 1001 kisah duka dan derita disebalik senyuman manismu. Seronok Alia bila aku hadiahkan buku-buku tulisan aku. Dia sangat suka membaca. Sangat!

“Alia. Ini untuk Alia tau. Ada cikgu tulis kata-kata semangat dalam ni. Bacalah. Dan ini nombor telefon cikgu. Ada apa-apa masalah, telefon cikgu ya!”

Alia mengangguk tanda faham. Sebelum aku pergi, dia hulur tangan untuk bersalam. Dikucup tanganku penuh ikhlas. Dia senyum dan tatap mata aku dalam-dalam.

“Cikgu. Terima kasih. Terima kasih.”

Ya Tuhan. Hampir saja air mata aku jatuh. Sedaya upaya aku telan setiap titisan air mata. Aku perlu kuat depan Alia. Aku patut memberinya semangat.

Aku hendak dia tahu aku seorang yang boleh dia harap saat semangatnya hilang. Demi Tuhan, aku sangat ingin memeluk dia saat itu. Jika tidak kerana tegahan agama, anak ini pasti aku peluk erat-erat. Matanya itu, senyumannya itu, raut wajahnya, memberi perasaan sebak yang sangat.

Gambar : Mohd Fadli Salleh

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja lantas beredar. Aku tidak lagi boleh duduk lama kerana takungan air mata hampir tidak boleh ditahan lagi.

Alia, terus kuat, terus tabah. Bacalah buku-buku cikgu. Ada semangat untukmu dalam buku-buku itu. Alia, kamu simpan nombor cikgu. Jangan malu jangan segan untuk hubungi untuk apa-apa sekali pun.

Alia, kamu terus kuat dan tabah. Doa cikgu sentiasa ada bersama. Alia, kamu akan baik-baik saja. Tenanglah. Senyumlah. Alia, cikgu bukan sesiapa. Namun cikgu akan selalu ada. Sentiasia, ingat tu.

Lokasi Alia aku takkan dedahkan kerana kes dalam siasatan polis. Namun aku akan ziarahi dia lagi dalam masa terdekat. Kos persekolahan Alia nanti Dana Kita akan bantu sepenuhnya. Dari sekecil-kecil benda, hingga benda paling besar. Bab pelajaran, Dana Kita akan bantu penuh!

Sumber : Mohd Fadli Salleh 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.