Siakap Keli
Gambar : YAKEB

Wan Hassan, Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Meninggal Dunia

Bekas pemain bola sepak negara Wan Hassan Wan Ibrahim meninggal dunia petang semalam di rumahnya di Kampung Cherang di sini, akibat kegagalan fungsi paru-paru.

Jenazah allahyarham Wan Hassan, 68, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang pada pukul 10.15 pagi ini.

Anak bongsunya, Wan Fadhilah, 38, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.30 petang semalam setelah dua tahun menderita lumpuh separuh badan.

“Doktor mengesahkan paru-paru ayah tidak berfungsi dengan baik dan tersumbat dengan kahak yang banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini.

Wan Hassan lumpuh separuh badan sejak pertengahan 2017 dan kesihatannya mulai merosot selain susut tubuh badan bermula awal tahun ini.

Kariernya Allahyarham bermula pada usia 16 tahun selepas mewakili Kelantan untuk skuad Piala Burnley pada 1968.

Kelincahannya selaku perancang di bahagian tengah membolehkan beliau diserapkan ke dalam skuad Piala Malaysia pada 1970 sebelum dipilih menyertai skuad Malaysia B pada pertandingan Pestabola Merdeka setahun kemudian.

Pada 1972 pula, beliau dipilih menyertai skuad utama Malaysia bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok serta kelayakan Piala Dunia 1972 termasuk mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan di Seoul.

Selepas bersara pada 1980, beliau dilantik selaku pengurus pasukan Kelantan selama dua tahun.

Gambar : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.