Siakap Keli
Gambar kanan sekadar hiasan

”Dapat Hidayah Bertudung, Tapi Mereka Tak Benarkan,” Akak Guard Sanggup Korbankan Kerja Gaji Lumayan Demi Cintakan Agama

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tidak semua orang bernasib baik mempunyai kerjaya yang stabil dan berpendapatan tinggi. Ada di antaranya yang terpaksa bergelut dalam kehidupan, melakukan apa sahaja kerja demi mendapatkan sesuap nasi.

Namun, kisah pengorbanan seorang pengawal keselamatan yang meninggalkan kerjaya kerana cintanya pada agama ternyata menyentuh hati ramai. Dr. Azizul Azli Ahmad yang menceritakan kisah ini disapa oleh wanita tersebut di kedai makan sebelum menunaikan solat Jumaat.

Di saat ramai yang mengejar dunia hingga sanggup mengenepikan agama, wanita ini melakukan sebaliknya. Mungkin ini hanya secebis kisah masyarakat, namun diharap dapat menyuntik walau sebesar zarah keinsafan dalam diri. Ikuti perkongsian beliau seperti di bawah. Kagum!

“Boleh akak tumpang duduk?”.

“Boleh silakan,” pelawa saya tadi.

Akak ini buka bekal yang dia bawa dihadapan saya. Ada kari ayam pembuka selera.

“Dah lama kerja disini kak?” soal saya berbasa basi.

Uniform Pengawal Keselamatan kelihatan jelas disebalik jaket baju birunya.

Gambar : Azizul Azli Ahmad

“Hari ini hari kedua, sebelum ini dengan hotel dah lebih 17 tahun,” ceritanya lancar.

“Oh, kenapa berhenti?” tanya saya tanpa berselindung lagi.

“Dulu akak free hair. Elok je bekerja di hotel tersebut. Suatu hari, Tuhan kirim hidayah ke dalam hati akak untuk bertudung.

Maka akak mula pakai tudung. Malangnya pihak hotel tak benarkan. Jadi akak ambil keputusan untuk berhenti. Nak buat macam mana, sampai situ je rezeki akak di sana,” katanya sambil tersenyum.

Sejujurnya, saya terkesima mendengar cerita akak ini. Saya jadi kaku, hari ini didepan saya seorang wanita yang hanya menyarung sepasang uniform ‘jaga’ meninggalkan kerja lama yang gaji jauh lebih besar demi cintanya pada agama. Subhanallah.

“Gaji sekarang 5 kali lebih rendah dari sebelum ini,” sayu kedengaran dia berkata.

Kawan kawan. Ada dikalangan kita yang cinta pada agamanya luar biasa. Sangat luar biasa sebenarnya.

Yang paling saya sedih, ada beberapa gerakan yang sedang berusaha untuk mempengaruhi wanita Islam kita untuk menanggalkan hijab wanita.

Ada yang tinggalkan gaji 5 kali ganda demi menjaga agamanya. Jangan takut jika kau melakukan kesalahan, kerana kesalahan adalah awal dari kebenaran.

Lebih baik kehilangan sesuatu hal demi Tuhan. Dibandingkan harus kehilangan Tuhan demi sesuatu.

Sumber : Azizul Azli Ahmad

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.