Siakap Keli
Gambar: The Sun Best

Dulu Selamatkan Pasukan Bola Sepak Remaja Thailand, Kali Ini Beliau Pula Diselamatkan Selepas Terperangkap Dalam Gua Di US

Seorang penyelam yang berasal daripada United Kingdom, dan juga merupakan salah seorang daripada penyelam yang telah menyelamatkan sepasukan bola sepak Thailand yang terperangkap di dalam gua pada tahun lalu dilaporkan telah terperangkap di dalam sebuah gua yang terletak di Tennessee, Amerika Syarikat.

Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Jackson County (EMA), Josh Bratchley dilaporkan hilang selepas gagal menemui jalan keluar daripada gua itu pada hari selasa semasa dia sedang meneroka gua tersebut bersama dengan empat orang lagi rakannya.

Difahamkan, sekumpulan penyelam yang berpengalaman telah menyelam ke dalam gua di Gainesboro yang terletak di utara Cookeville itu. Semasa mereka dalam perjalanan untuk keluar daripada gua itu, mereka mendapati bahawa Bratchley tiada bersama mereka. Mereka kemudiannya segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan berkenaan dengan kehilangan Bratchley itu.

Susulan daripada itu, sepasukan penyelam professional daripada Arkansas dan Florida telah dipanggil untuk membantu menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan penyelam yang terperangkap itu. Mereka menyifatkan misi penyelamatan itu berisiko tinggi.

Pada petang rabu, sepasukan penyelamat yang menyertai operasi penyelamatan itu dilaporkan berjaya menemui dan membawa Bratchley keluar daripada gua tersebut. Semasa ditemui, dia berada didalam keadaan sedar, berwaspada serta berorientasi.

“Perkara pertama yang diminta olehnya setelah berjaya dikeluarkan daripada gua tersebut adalah piza,” jelas salah seorang anggota EMA didalam satu temu bual.

Edd Sorenson merupakan salah seorang penyelam penyelamat yang menjumpai Bratchley semasa operasi penyelamatan itu. Sorenson menjelaskan, dia menjumpai Bratchley di ruang udara kecil yang terdapat di dalam gua yang sedang banjir itu.

“Ketika saya menemuinya, dia terus berkata ‘Terima kasih, terima kasih. Siapa awak?’ “Ujar Sorenson. “Kami berkesempatan untuk beramah mesra buat seketika.”

Pihak berkuasa menjelaskan, selama 45 hingga 50 minit masa yang diambil oleh Sorrenson untuk mengeluarkan penyelam yang terperangkap itu.

“Laluan yang terdapat di gua tersebut teramat kecil serta mencabar,” jelas Sorrenson.

Pihak berkuasa serta Sorenson menyifatkan bahawa ketenangan serta kekuatan mental yang ada pada Bratchley merupakan salah satu sebab mengapa dia masih lagi bernyawa ketika terperangkap didalam gua tersebut.

Bratchley merupakan salah seorang penyelam yang menyertai operasi penyelamatan 12 kanak-kanak serta jurulatih pasukan bola sepak Thailand yang terperangkap didalam gua Chiang Rai di utara Thailand pada tahun lalu.

Gua Tennessee yang dianggarkan berjarak sejauh kira-kira 3 batu itu terletak di kawasan yang terpencil. Menurut Syerif Jackson County, Ethan Burris, sekumpulan penyelam itu telah berada di gua tersebut selama dua hingga tiga hari bagi tujuan pemetaan.

Gambar: CNN

“Anda perlu menyelam ke dalam air untuk memasuki gua tersebut,” ujar Burris. “Peta yang kita ada sekarang tidak dapat memastikan tentang kedalaman gua tersebut.”

Rakan penyelam Bratchley yang memaklumkan tentang insiden tersebut kekal menunggu di lokasi kejadian untuk menawarkan serta membantu dalam operasi penyelamatan itu.

“Mereka merupakan aset utama kami dalam mendapatkan informasi tentang keadaan serta laluan di dalam gua tersebut,” jelas Burris.

Sumber:  CNN

Aqmal Ezany

Editor: Mohd Firdaus

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di