Siakap Keli
Gambar Hiasan

Wang Hantaran RM60,000 Lesap Ditipu Kekasih Facebook

Seorang penjawat awam bukan sahaja kehilangan wang hantaran berjumlah RM60,000 bahkan kekasih Facebook yang dikenali sebagai ‘Aishah’ juga menghilangkan diri gara-gara terpedaya dengan skim ‘love scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mangsa lelaki berusia 28 tahun itu dari Sibu mula mengenali mangsa melalui Facebook sebelum berhubung melalui whatsapp dan daripada hubungan tersebut, mangsa telah mengajak suspek untuk berkahwin.

“Suspek telah bersetuju untuk berkahwin dengan mangsa. Walau bagaimanapun, suspek telah meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang terlebih dahulu sebagai wang hantaran.

“Justeru, mangsa telah beberapa kali membuat transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM60,000 ke satu akaun atas nama individu yang tidak dikenali sejak November tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih perit, menurut Mustafa, sumber kewangan mangsa adalah hasil wang pinjaman peribadi dari sebuah institusi kewangan dan mangsa menyedari telah ditipu setelah kekasih facebooknya tidak dapat dihubungi pada satu hari sehingga kini.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan di Bintulu, seorang mekanik kerugian RM32,350 setelah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang dari sebuah syarikat melalui Facebook.

“Mangsa telah berhubung dengan seorang lelaki melalui whatsapp kerana mangsa ingin membuat pinjaman wang berjumlah RM40,000 dan lelaki itu mengaku beliau adalah eksekutif kewangan syarikat yang menawarkan pinjaman wang.

“Suspek mengatakan pinjaman wang boleh diluluskan dengan syarat mangsa perlu membuat beberapa pembayaran terlebih dahulu dan mangsa telah membuat pembayaran wang keseluruhan berjumlah RM32,350 ke enam akaun bank berlainan nama sebanyak 11 transaksi,” kata Mustafa.

Mustafa berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.