Siakap Keli

Tiada Rakyat Malaysia Terbunuh Dalam Letupan Colombo – Wisma Putra

Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam beberapa kejadian letupan di Colombo, Sri Lanka hari ini.

Pengesahan itu susulan laporan letupan di beberapa lokasi termasuk gereja di ibu negara Sri Lanka berkenaan iaitu di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan sebuah gereja di Batticaloa.

Kejadian kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata setakat 1.30 tengah hari waktu Malaysia, tiada rakyat negara ini dilaporkan tersenarai sebagai antara yang maut.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah tersebut akan dihadapkan ke muka pengadilan,” demikian kata Wisma Putra.

Kementerian Luar turut menasihati rakyat  Malaysia yang berada di kawasan berdekatan agar berhati-hati serta mengikuti perkembangah terkini menerusi laporan berita tempatan dan juga pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi.

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut atau sebarang bantuan boleh ke suruhanjaya itu  di 45, Rosmead Place Colombo 07, Sri Lanka atau melalui talian  00-(94) 11 755 7711 (pejabat)/00-(94) 76 677 4445 /00-(94) 76 398 8777 serta e-mel  [email protected].

— BERNAMA

Nur Farra