Siakap Keli
Gambar : Rainforest Rescue

Gamaknya Siat Kulit Gajah Dan Dikeringkan, Kononnya Dapat Dijadikan Ubat Merawat Masalah Ekzema Dan Jerawat

Giat diburu untuk dijadikan ubat tradisional dari negara China, gajah dari negara Asia kini diancam kepupusan dek tangan-tangan kejam yang ingin mengaut keuntungan.

Sebelum ini, hanya gajah jantan Asia dilaporkan menghadapi ancaman bahaya kerana diburu bagi mendapatkan gadingnya.

Namun kini, pemburu semakin agresif apabila membunuh setiap haiwan yang mereka temui termasuklah anak gajah dan gajah betina demi mendapatkan kulit gajah yang dikatakan mampu untuk merawat ekzema, jerawat dan masalah pencernaan.

Difahamkan, pusat utama perdagangan kulit gajah dilaporkan terletak di kota Myanmar, Mong La. Peniaga dikatakan aktif memenuhi permintaan kulit gajah daripada negara jiran, China.

Pada tahun ini sahaja 20 ekor gajah dilaporkan telah dibunuh di negara itu dan lebih seratus telah diburu sejak tahun 2013.

Pemburu akan menggunakan panah beracun bagi membunuh semua gajah. Setelah gajah-gajah itu mati, mereka akan melapah kulit haiwan itu di tempat kejadian sebelum membawanya pulang.

Kulit gajah kemudiannya akan dikeringkan dan dijadikan sebagai serbuk. Setelah itu ia akan dicampurkan pula dengan minyak kelapa bagi dijadikan cecair yang kononnya mampu menjadi penyembuh kepada masalah kulit dan pencernaan.

Tidak cukup dengan itu, kulit gajah turut dijadikan perhiasan seperti gelang manik yang dijual dengan harga kurang dari $100.

Walaupun undang-undang Myanmar menetapkan pemburu gajah menghadapi hukuman tujuh tahun penjara, tetapi tangkapan jarang dilakukan kerana peniagaan haram ini dikawal secara rapi.

Pada masa sama, China turut memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini dengan mengeluarkan larangan perdagangan gading gajah dan menutup pasaran gelap di negeri itu.

Namun, usaha ini masih tidak dapat menghalang warganegaranya merentasi sempadan ke Myanmar bagi membeli produk-produk yang menggunakan gajah di sana.

Ayuhlah kita bersama-sama menandatangani petisyen dengan menekan link ini bagi membantah perdagangan gajah di negara Asia. Kelangsungan hidup gajah bergantung kepada salah satu usaha kecil ini.

Sumber : Rainforest Rescue

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.