Siakap Keli

”Ibu Jadi ‘Perisai’ Lindungi Anak Ketika Kereta Dilanggar Bas”, Anak Kongsi Saat Indah Ibunya Mula Sedar Selepas 27 Tahun Koma

Seorang wanita akhirnya sedar kembali selepas 27 tahun berada dalam keadaan separuh koma.

Munira Abdulla mengalami kecederaan teruk pada bahagian otaknya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1991. Munira berumur 32 tahun ketika kejadian.

Untuk empat tahun pertama selepas kemalangan, Munira tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia bakal sedar semula satu hari nanti.

Kemudian, pada 2017, Munira diterbangkan ke Jerman untuk menjalani rawatan terapi fizikal dan penggunaan dadah. Di sana, Munira mula menunjukkan respon yang minima.

”Saya tidak pernah berputus asa kerana tahu ibu saya akan tersedar semula satu hari nanti,” kata anak Munira, Omar Webair.

Menurut Omar, ketika kejadian dia berumur 4 tahun dan kemalangan yang menimpa Munira disebabkan tindakannya menjadi perisai Omar ketika kereta yang dinaiki dilanggar sebuah bas.

Omar hanya mengalami kecederaan tetapi ibunya yang cedera parah terbiar tidak menerima rawatan di lokasi kejadian untuk beberapa jam.

Selepas dikejarkan ke hospital, Munira dipindahkan ke sebuah hospital di London untuk mendapatkan rawatan pakar. Di sana, dia disahkan berada dalam keadaan minimally conscious state, sama seperti koma namun boleh merasa sakit.

Kemudian, dia sekali lagi dipindahkan ke UAE untuk menerima rawatan untuk beberapa tahun. Di sana, Munira diberi makan melalui tiub dan dijaga ahli fisioterapi bagi mengelakkan ototnya mengeras.

Pada 2017, Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed menawarkan bantuan kepada keluarga Omar untuk menampung kos rawatan Munira dan perlu berpindah ke Jerman untuk menerima rawatan di sana.

Doktor di Jerman memberi tumpuan kepada rawatan fizikal dan penggunaan dadah perubatan untuk memperbaiki corak tidurnya.

”Tujuan utama kami adalah untuk memulihkan kembali kesedarannya secara perlahan-lahan dan membantu tubuhnya untuk bersedia ke arah itu.

”Seperti pokok yang memerlukan tanah yang subur untuk membesar,” kata Dr Ahmad Ryll salah seorang pakar yang merawat Munira.

Menurut Omar, rawatan itu membantu ibunya untuk kembali sedar. Setahun kemudian, pada Jun 2018, keadaan wad yang sedikit bingit membuatkan Munira tersedar daripada koma.

”Ibu membuat bunyi yang pelik-pelik dan saya bergegas memanggil doktor untuk memeriksanya. Mereka kata, ibu saya berada dalam keadaan normal.

”Tiga hari kemudian, saya bangun dari tidur ketika mendengar seseorang memanggil nama saya. Dia adalah ibu saya. 

”Saya merasa sangat gembira kerana bertahun-tahun menunggu saat ini dan nama saya adalah perkataan pertama keluar daripada mulutnya,” kata Omar.

Dari semasa ke semasa, keadaan Munira menjadi semakin baik. Kini, dia sudah boleh berbicara, melakukan ibadah dan memberitahu orang yang menjaganya sekiranya merasa sakit.

Munira sudahpun kembali ke Abu Dhabi dan menyambung rawatan di sana.

”Tujuan saya berkongsi kisah ini supaya mereka di luar sana tidak berputus asa dengan orang tersayang, jangan anggap mereka sudah mati dalam keadaan begitu.

”Untuk bertahun-tahun, mereka memberitahu bahawa ibu saya tidak ada harapan untuk sembuh. Malah, mereka berkata tiada gunanya saya mencari rawatan untuk dia.

”Tetapi tiap kali saya merasa ragu, saya meletakkan diri saya dalam keadaan ibu saya dan melakukan apa sahaja untuk memulihkan ibu,” kata Omar.

Sumber: The Independent

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.