Siakap Keli
Gambar: fin24.com

Rokok Elektronik: Bakteria dan Kulat Berbahaya Sebabkan Penyakit Paru-Paru Ditemui Didalam Kartrij Isi Semula

Rokok elektronik boleh berpotensi tercemar dengan bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan penyakit paru-paru, menurut kajian.

Saintis yang menguji 75 buah kartrij pakai buang dan perisa yang boleh diisi semula mendapati bahawa terdapat tanda-tanda bakteria yang merbahaya dalam kartrij tersebut.

Sementara itu glucan, sejenis molekul manis yang terdapat dalam kebanyakan kulat telah dikesan terdapat didalam 81 peratus produk yang diuji.

Menurut saintis, Pendedahan kepada toksin telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk asma, mengurangkan fungsi paru-paru dan keradangan.

Harvard TH Chan School of Public Health adalah merupakan kumpulan yang bertanggungjawab mengkaji rokok elektronik dan produk vape daripada jenama yang laris serta terkemuka itu.

Professor David Christiani yang mengetuai kajian tersebut menyatakan, toksin “telah terbukti menyebabkan kesan pernafasan akut dan kronik terhadap pengguna dan alam sekitar”.

“Penemuan toksin yang terdapat dalam produk rokok elektronik ini makin menambah kebimbangan kerana ianya berpotensi memberi kesan yang buruk kepada pernafasan seseorang pengguna itu”, tambahnya lagi.

Hasil daripada kajian itu telah dicatatkan didalam jurnal Environmental Health Perspectives. Menurut jurnal tersebut, kapas yang digunakan didalam kartrij rokok elektronik itu boleh berpotensi menjadi salah satu daripada sumber pencemaran.

Menurut Professor Martin McKee, dari London School of Hygiene and Tropical Medicine, dia menegaskan bahawa rokok elektronik tidak seharusnya dipromosikan sebagai produk alternatif untuk berhenti merokok tanpa mengetahui kesan menghidu nikotin dan perisa yang mengandungi bahan kimia.

“Merujuk pada bukti yang kita ada pada masa ini, banyak alasan yang kukuh untuk kita risaukan terhadap perkara ini”, tambahnya lagi.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right