Siakap Keli

“Agungkan Adat Dan Budaya Tempatan Di Persada Dunia,” Kisah ”Kampung Boy” Yang Mewarnai Zaman Kanak-Kanak 90-an

Untuk anda yang lahir pada sekitar tahun 90-an pastinya tahu tentang siri animasi Kampung Boy. Ia pertama kali disiarkan di kaca televisyen pada tahun 1997 dan diadaptasi dari sebuah novel grafik terlaris The Kampung Boy karya kartunis tempatan Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohammad Nor bin Mohammad Khalid.

Novel bergambar ini telah diterbitkan pada tahun 1979 oleh Berita Penerbitan dengan permulaan 60,000 salinan yang habis terjual dalam tempoh empat bulan. Karya tersebut turut diterjemahkan ke bahasa lain seperti Jepun, Perancis dan turut dipasarkan ke luar negara. Lebih membanggakan apabila ia berjaya memenangi banyak anugerah dari dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Ia merupakan satu kejayaan terbesar bagi Malaysia dan nama Lat sentiasa menjadi sebutan di seluruh Asia Tenggara.

Kulit novel grafik Kampung Boy, cetakan pertama pada tahun 1979 (Gambar : Goodreads)

Karya agung ini menceritakan kisah pengembaraan seorang budak kampung, Mat dalam meniti kehidupan seharian yang penuh dengan adat dan budaya. Tema yang dibawa oleh kartunis ini adalah kontras di antara cara hidup tradisional masyarakat di kampung dan bandar. Idea asal novel ini sebenarnya terinspirasi dari sisi hidup Lat sendiri yang berasal dari sebuah desa di Perak.

Siri kartun hasil tangan Lat juga selalu tersiar dalam akhbar tempatan pada tahun 1980 sehingga 1990.

Gambar : Dunia Kartun Lat
Gambar : Dunia Kartun Lat

Begitu Cintakan Adat Tempatan, Mahu Sebarkan Kebanggaan Kepada Semua

Lat begitu tegar untuk mempromosi nilai serta adat tempatan bermula dari kalangan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana Lat percaya bahawa segalanya perlu diterapkan sedari awal lagi. Sedar bahawa generasi muda lebih memilih animasi yang berwarna dari lukisan statik hitam putih, Lat terfikir untuk menghidupkan watak ‘Kampung Boy’ ke layar televisyen.

Gambar : lite

Bawa Nama Malaysia Ke Persada Dunia

Pada tahun 1999, siri animasi berkenaan mula ditayangkan di rangkaian televisyen satelit Malaysia (Astro) sebelum diedarkan ke 60 buah negara lain seperti Kanada dan Jerman. Animasi 26 episod itu turut memaparkan watak seperti Ana (Adik), Mak (Yah), Abah (Yeop), Opah, Tok Din, Normah, Bo, Tak dan Cikgu Hew yang juga menjadi penguat jalan cerita tersebut.

Animasi Lat telah memenangi pujian untuk kerja-kerja teknikal dan kandungan yang menyegarkan. Kampung Boy telah tercalon dalam Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy 1999 di Perancis. Salah satu episodnya, “Oh, Tok!”, Memenangi Animasi Terbaik untuk siri televisyen.

Kartunis Lat (Gambar : Perak Today)

Menjawab Isu Masyarakat Dan Kritikan Sosial

Uniknya animasi ini, ia menceritakan realiti sebenar kehidupan di penduduk kampung di Malaysia. Setiap episod menimbulkan persoalan dan ‘menyediakan jawapan’ berkaitan sesuatu isu masyarakat. Malah Lat tidak lupa untuk menerapkan nilai murni di setiap episod untuk dijadikan pengajaran kepada semua.

Dalam episod Nasib Si Gadis Desa, Lat telah menjawab segala persoalan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan. Di akhir episod Lat menjelaskan bahawa kedua-duanya saling melengkapi di antara satu sama lain. Setiap episod begitu menarik sehingga dijadikan satu kertas kajian oleh Dr. Rohani Hashim dari Universiti Sains Malaysia.

Jangan Pernah Lupa Adat Dan Budaya

Watak-watak di dalam animasi tersebut memakai kain sarong dan berbaju kurung yang menjadi pakaian kebanggaan kita semua. Animasi itu juga memperkenalkan secara tidak langsung permainan tradisioanal, adat perkahwinan serta kekeluargaan. Dalam keseronokkan menontonnya, secara tidak sedar kita telah mengetahui adat dan budaya masyarat kita.

Sebelum muncul karakter dan kartun baharu, ingatlah ada animasi dahulu yang begitu mengagungkan sejarah masyarakat. Hargailah setiap karya yang dihasilkan supaya ia tidak luput dek zaman.

Gambar : Goodreads
Gambar : Goodreads
Gambar : Goodreads
Gambar : Goodreads

Rujukan

[1] Rohani Hashim. (2005).  “Lat’s Kampung Boy: Rural Malays in Tradition and Transition”. In Palmer, Edwina(ed). Asian Futures, Asian Traditions. Kent, United Kingdoms. pp. 389–400. ISBN 1-901903-16-8.

[2] Muliyadi Mahamood. (2001). ” The History of Malaysian Animated Cartoons.” In Lent, John (ed.) Animation in Asia and the Pacific. Indiana, United Stated. pp. 131–152. ISBN 0-253-34035-7.

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.